KUALA LUMPUR – Pemilik Kelantan FC, Norizam Tukiman atau lebih dikenali sebagai Zamsaham mendakwa Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Malaysia Football League (MFL) masih berhutang dengan kelab itu.
Menerusi hantaran di Facebook miliknya, Zamsaham berkata, FAM masih belum melangsaikan hutang sebanyak lebih RM79,000 untuk bayaran pengadil yang telah dilunaskan oleh Kelantan FC bagi pihak MFL pada tahun lepas.
Beliau membuat pendedahan itu selepas FAM mengendakan denda terhadap Kelantan FC kerana tidak menghantar pasukan bawah 19 tahun bertanding dalam saingan Piala Belia pada musim ini.
“Assalamualaikum semua peminat industri bola sepak FAM, MFL yang dihormati. Ringkas! Pihak FAM hanya tahu denda, denda dan denda. Kesilapan sendiri tak pernah tengok.
“Terkini Kelantan FC akan didenda kerana tak hantar pasukan belia bertanding.
“Alasan, saya sendiri dah beritahu kita tak dapat hantar sebab FAM sendiri lambat bayar duit referee (pengadil) yang dah Kelab Kelantan FC lunaskan bagi pihak MFL tahun lepas.
“Fokus utama pada yang utama, Most important most urgent, Most Important not urgent…perlu lihat keadaan dan utamakan yang utama,” tulisnya.
Zahsaham juga berkata, FAM enggan mendengar masalah yang dihadapi Kelantan FC walaupun kelabnya itu mengikut arahan yang dikeluarkan oleh badan induk bola sepak tanah air itu.
Malah katanya, Kelantan FC sudah melunaskan semua gaji pemain tahun lepas walaupun pendapatan kelab itu terjejas.
“Dia (FAM) tidak faham yang tiada penyokong yang datang ke stadium, pendapatan kurang dan kelab perlu uruskan cashflow dengan bijak.
“Match tahun lepas dah habis, duit referee Kelantan FC dah dibayarkan dahulu.
“Tetapi sampai hari ini sesen pun tak dapat. Bang, duit tu RM79,286.68, cukup dah untuk sebuah kelab swasta tampung perbelanjaan budak (pemain) belia.
“Persoalannya, apa FAM baik MFL tiada ke sistem rekod yang terus perlu bayar balik ke kelab selepas advance (pendahuluan) dibuat.
“Apa payable account policy yang MFL ada? Berapa hari sepatutnya bayar semula kepada kelab? Ini dah nak masuk Mac 2022, duit tak masuk lagi,” katanya lagi. – MalaysiaGazette