Ismail sabri
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mahu stesen radio di negara ini terus memainkan peranan dalam menyebarkan informasi terkini.

Katanya, beliau yakin radio yang menjadi keperluan dalam kehidupan masa kini akan terus relevan di masa hadapan.

Mengimbau dari sudut sejarah, Ismail Sabri berkata, Malaysia antara negara kolonial British terawal menggunakan teknologi radio.

“Malah, pada pra dan pascamerdeka juga, radio menjadi medium penting untuk rakyat mendapatkan maklumat semasa pada masa itu dan melalui radio kita mengumpulkan semangat pejuang dalam mempertahankan tanah air.

“Kini, radio menjadi nadi aspirasi di kala pagi, peneman di kala tengah hari dan hiburan di kala petang, saat Keluarga Malaysia memandu pulang, radio turut menjadi rakan yang akrab di sisi,” katanya menerusi catatan di Facebook beliau, hari ini.

Sambutan Hari Radio Sedunia mula dianjurkan atas inisiatif Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) pada 2012, bagi mengiktiraf sumbangan dan peranan radio.

Tema ‘Radio dan Keyakinan’ dipilih pada tahun ini yang diperincikan kepada tiga sub tema iaitu kebolehpercayaan dalam kewartawanan radio, kebolehpercayaan dan kebolehaksesan serta kebolehpercayaan dan daya maju stesen radio. – MalaysiaGazette