LANGKAWI – Bapa kepada dua kanak-kanak lelaki yang meninggal dunia selepas dipercayai makan sisa makanan dari tong sampah di Bukit Malut, di sini, semalam ditahan untuk siasatan lanjut.

Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari berkata, lelaki warga Myanmar berusia 36 tahun itu ditahan pada malam semalam.

“Hasil ujian air kencing ke atas suspek juga mendapati dia positif dadah.

“Suspek kini ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001, Seksyen 6(1) (c) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Mengulas mengenai perkembangan siasatan, Shariman berkata, mayat dua beradik terbabit akan dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah di Alor Setar hari ini untuk proses bedah siasat.

MalaysiaGazette semalam melaporkan, dua beradik warga Myanmar maut dipercayai selepas makan sisa makanan dalam tong sampah di Kampung Baru Sungai Tepa, Bukit Malut, di sini.

Mangsa, Nizambudin, 4, dan adiknya, Ngei Jamaludin, 2, dilaporkan meninggal dunia pada pukul 5.40 petang.

Siasatan awal pihak polis mendapati bapa kanak-kanak itu melihat kedua-dua anaknya berada berhampiran tong sampah dalam keadaan terhuyung-hayang sebelum membawa mereka ke rumah jiran berhampiran.

Bagaimanapun, beberapa minit kemudian dua kanak-kanak itu dapati tidak bernafas sebelum penduduk kampung menghubungi pihak polis. -MalaysiaGazette