Dr Muhamad Akmal Saleh bercakap kepada media selepas lawatan mengejut di kilang pembuatan kanta di Merlimau, Melaka.

JASIN – Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) memberi amaran kepada mana-mana majikan terutamanya sektor perkilangan yang mempunyai kontak rapat kes positif Covid-19 agar segera mengawal penularan virus berkenaan.

Exco Kesihatan dan Antidadah negeri, Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, ia susulan peningkatan kes bagi kluster tempat kerja sejak beberapa hari lalu yang semakin tinggi, mengatasi kluster pendidikan yang kini semakin pulih.

Menurut beliau, JKN menerima banyak aduan mengenai tindakan tidak bertanggungjawab majikan terutama sektor perkilangan, kedai makan dan pasar raya yang masih meminta kontak rapat kepada kes positif datang bekerja.

“Setakat ini memang kita terima banyak laporan dan masih siasat tapi jumlahnya saya tidak boleh dedahkan.

“Jadi bermula hari ini, kita akan buat lawatan mengejut di premis-premis ini untuk pastikan dakwaan dan mengambil langkah untuk mengawal penularan Covid-19 terutamanya melibatkan varian Omicron yang mudah merebak,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan lawatan mengejut di sebuah kilang pembuatan kanta di Merlimau di sini hari ini yang diarahkan tutup selama tujuh hari setelah merekodkan 21 kes positif Covid-19 sejak 5 Februari lalu.

Menurut Dr Muhamad Akmal, langkah pemeriksaan mengejut itu terpaksa diambil susulan peningkatan kes positif Covid-19 yang semakin tinggi melibatkan kluster tempat kerja.

Tambah beliau, data JKN semalam mendapati kluster tempat kerja merekodkan 40 kes, berbanding hanya tiga kes daripada kluster pendidikan yang sebelum ini merekodkan kes positif yang tinggi.

“Kluster tempat kerja ini, jika tidak dikawal saya lihat akan menjadi semakin serius sebab itu dalam pemeriksaan yang dilakukan keutamaaan kita adalah nak pastikan kadar jangkitan dalam kalangan pekerja mampu dikawal.

“Kita tak semestinya akan tutup kilang, cuma mungkin akan tutup satu atau dua jabatan tapi ia mestilah dilakukan pada kadar segera supaya kadar pencegahan itu dapat kita lakukan atau jika tidak, seluruh kilang terpaksa ditutup,” katanya. – MalaysiaGazette