MELAKA – Tabung Haji (TH) diarah melanjutkan tempoh membuka akaun simpanan hampir 1,000 jemaah yang layak mendapat bayaran saguhati sehingga Mac ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad berkata, beliau juga telah mengarahkan TH supaya memudahkan urusan jemaah membuka akaun simpanan mereka yang sepatutnya berakhir Jumaat ini.

“Saya dah arahkan pihak TH memberi tahu kepada semua pejabat-pejabat TH supaya mereka ini kalau ada dalam kalangan mereka (jemaah) nak buka akaun itu nak terima sumbangan ni kena segerakan, permudahkan.

“Saya minta supaya dilanjutkan (daripada 18 Februari) sekurangnya-kurangnya sampai Mac ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Program Multaqa Murabbi Ummah Peringkat Negeri Melaka yang dirasmikan Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali di Auditorium Masjid Al- Azim, Bukit Palah, di sini hari ini.

Hadir sama, Timbalan Pengerusi Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) Datuk Md Rawi Mahmud, Timbalan Ketua Pengarah Operasi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee dan Mufti Melaka Datuk Abdul Halim Tawil.

Idris berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai nasib 1,000 daripada 8,027 jemaah yang terpaksa membatalkan ibadah umrah mereka akibat penularan varian Omicron bermula 8 Januari lalu yang tidak sempat membuka akaun TH sebelum berakhir Jumaat ini.

Pembukaan akaun itu bagi melayakkan mereka mendapat pembayaran sagu hati sebanyak RM1,671 seorang yang bakal dikreditkan terus ke dalam akaun simpanan Tabung Haji, Jumaat ini.

“Apapun mesti gunakan akaun simpanan TH sebab mudah, semua tempat ada (pejabat) termasuk di kampung-kampung .

“Mereka yang dah ada akaun itu cuma bagi kad pengenalan kita kreditkan sumbangan,” katanya. – MalaysiaGazette