Cebisan tengkorak yang ditemui kawasan semak di Jalan Tengkera.

MELAKA – Satu tengkorak bersama beberapa cebisan rangka dipercayai seorang lelaki ditemui di kawasan semak bersebelahan sebuah hotel di Jalan Tengkera, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, rangka itu ditemui kira-kira jam 8 malam oleh seorang pekerja sebuah kedai tayar berhampiran kawasan berkenaan.

Menurutnya, sepasukan anggota daripada Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Melaka Tengah dan Bahagian Siasatan Khas Jenayah Berat (D9) dikejarkan ke tempat kejadian untuk siasatan.

Kad pengenalan ditemui dalam poket seluar.

“Siasatan awal telah menemui kad pengenalan diri seorang lelaki berbangsa Cina beralamat Taman Kota Laksamana Seksyen 2 di dalam dompet dalam poket seluar berdekatan rangka yang dijumpai.

“Semakan mendapati penama pernah dilaporkan hilang oleh anak saudaranya pada 31 Januari lalu dan tidak pulang ke rumah sejak itu.

“Setakat ini, polis tidak menemui sebarang petunjuk unsur jenayah dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya, lelaki berkenaan juga dikatakan tinggal seorang diri di Kota Laksamana serta mempunyai masalah pelupa akibat faktor usia.

“Lelaki warga emas itu dipercayai berjalan kaki dari rumahnya berhampiran tempat kejadian sebelum dia disyaki terjatuh di kawasan semak dan telah meninggal dunia.

“Pasukan forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Melaka turut hadir untuk pengumpulan rangka dan semua sampel tengkorak dan rangka dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Melaka untuk siasatan lanjut,” katanya. – MalaysiaGazette