MELAKA – Sebuah kilang guni baja di Telok Mas, di sini, dikesan beroperasi selama 21 tahun tanpa berdaftar dengan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP), sekali gus memperjudikan keselamatan 52 pekerjanya sejak 2001.

Perbuatan tidak bertanggungjawab itu terbongkar hasil pemeriksaan mengejut dilakukan Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Melaka bersama JKKP negeri, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) hari ini.

Susulan itu, kilang yang mempunyai 52 pekerja merangkumi 31 warga tempatan dan 21 warga asing itu telah melakukan kesalahan mengikut Seksyen 34 (1) Akta Kilang dan Jentera 1967.

Pengarah JTK negeri, Johana Bakar berkata, kesalahan itu memperuntukkan hukuman denda maksimum RM100,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.

“Pemeriksaan lanjut juga mendapati kilang yang beroperasi sejak 2001 itu melakukan beberapa kesalahan mengikut Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446).

“Majikan didapati menyediakan lapan unit penginapan pelbagai jenis kepada 21 pekerja asing tanpa sebarang perakuan penginapan daripada JTK, malah belum membuat sebarang permohonan mengenainya,”katanya pada sidang media di kilang tersebut.

Selain itu, menurut beliau, pemeriksaan mendapati, penginapan disediakan di dalam bangunan kilang yang sepatutnya digunakan untuk ruang kerja.

“Malah, tiada kemudahan asas seperti tandas, ruang rehat, bilik mandi disediakan selain persekitaran yang kotor.

“Kesalahan lain yang dilakukan termasuklah di bawah peraturan Akta 446 serta beberapa pelanggaran lain mengikut Akta Kerja 1955,” jelasnya.

Menurut Johana, serbuan itu juga bertujuan memantau pematuhan prosedur operasi standard (SOP) di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Akta 342) bagi mengekang penularan Covid-19 dalam kalangan pekerja. – MalaysiaGazette