Mazlan Bujang

JOHOR BAHRU – Pelancaran Parti Warisan Johor di Taman Sutera malam tadi menarik perhatian ramai apabila skrin yang memaparkan parti itu menunjukkan wajah bekas Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Tebrau, Mazlan Bujang.

Paparan di skrin itu yang ditonjolkan beberapa saat itu menunjukkan Mazlan sebagai Koordinator Johor.

Program berkenaan dihadiri Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal dan Naib Presidennya, Datuk Junz Wong yang dihadiri kira-kira 1,000 ahli dan penyokong mereka.

Bagaimanapun, kelibat Mazlan tidak kelihatan.

Hanya dua Koordinator Warisan Johor iaitu Wong Siew Poh dan Datuk Datuk Sunther Subramaniam sahaja yang berucap.

Paparan itu menimbulkan tanda tanya sama Mazlan yang bertindak keluar dari Bersatu berkuat kuasa serta-merta bersama 23 individu lain pada 22 Januari itu sudah menyertai parti tersebut.

Ini kerana, sebelum ini Mazlan yang juga penyandang Ahli Dewan Undangan Negeri Puteri Wangsa berkata, beliau tidak akan menyertai mana-mana parti politik ketika itu dan akan memberi sokongan kepada Barisan Nasional (BN).

Kata Mazlan, keputusan itu bagi memastikan kestabilan politik dan masa depan yang lebih baik untuk Johor.

Sehingga berita ini ditulis MalaysiaGazette masih belum dapat menghubungi Mazlan bagi menjawab teka-teki tersebut. – MalaysiaGazette