Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), Stuart Ramalingam bersama Pengurus Negara Luno Malaysia, Aaron Tang (kanan) pada sidang media Majlis Perasmian Tajaan Luno bagi Liga Malaysia di 1 Powerhouse, Bandar Utama, Petaling Jaya. Foto AFFAN FAUZI, 16 FEBRUARI 2022.

PETALING JAYA –  Badan pentadbir Liga Malaysia (Liga-M), Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), hari ini mengumumkan kerjasama dengan bursa aset digital, Luno sebagai Rakan Pelaburan Kripto dan penaja bersama rasmi Liga Super dan Piala Malaysia.

Perjanjian kerjasama selama setahun merangkumi pelbagai hak penjenamaan termasuk papan iklan di tepi padang, penggunaan logo kelab serta imej pemain, dan pengaktifan jenama di stadium.

Tajaan bernilai RM1 juta ini untuk tempoh setahun.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MFL, Stuart Ramalingam mengalu-alukan kerjasama berkenaan yang membawakan imej menarik kepada Liga-M.

“Hari ini ialah hari yang bersejarah untuk bola sepak Malaysia di mana kita mengalu-alukan kerjasama rakan era baru yang membawakan imej menarik kepada Liga Malaysia dan capaian yang ditawarkan oleh Liga Malaysia kepada jenama-jenama komersial.

“Memandangkan dunia telah pun menerima kriptowang, kerjasama ini telah membuka masa depan yang serba baru untuk keluarga rakan MFL dengan kerjasama yang amat luar biasa ini.

“Terima kasih Luno atas keyakinannya terhadap bola sepak Malaysia dan mempercayai kami untuk membantu mengangkat jenamanya menerusi kesedaran produk dan perkhidmatan yang ditawarkan,” katanya pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Rakan Kongsi Pelaburan Kripto Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), di sini, hari ini.

Sementara itu, Pengurus Negara Luno Malaysia, Aaron Tang berkata, kerjasama berkenaan merupakan detik besar bursa digital berkenaan.

“Kerjasama antara Luno dan MFL merupakan satu detik besar bagi kami. Ini adalah kerjasama pertama kami dengan organisasi yang mengendalikan kejohanan bola sepak paling berprestij di Malaysia.

“Lagi pun, Liga-M mempunyai lebih 13 juta peminat, maka kerjasama ini memberikan peluang besar kepada kami untuk melibatkan diri dengan khalayak yang baru dan mengangkat profil jenama kami di kalangan rakyat Malaysia yang mungkin berminat untuk menerokai dunia kriptowang,” katanya. – MalaysiaGazette