Children waiting for their turn to get their Covid-19 vaccine in conjunction with the National Covid-19 Immunisation Programme for Kids (PICKids) at the Axiata Arena Bukit Jalil, Kuala Lumpur. PIX: AMIRUL SHAUFIQ / MalaysiaGazette / 03 FEBRUARY 2022
Children waiting for their turn to get their Covid-19 vaccine in conjunction with the National Covid-19 Immunisation Programme for Kids (PICKids) at the Axiata Arena Bukit Jalil, Kuala Lumpur. PIX: AMIRUL SHAUFIQ / MalaysiaGazette / 03 FEBRUARY 2022. Gelagat kanak-kanak yang menunggu giliran untuk menerima suntikan vaksin Covid-19 sempena Program Imunisasi COVID-19 Kanak-Kanak 'PICKids' ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Axiata Arena Bukit Jalil, Kuala Lumpur. Foto AMIRUL SHAUFIQ 03 FABRUARI 2022.

KUALA LUMPUR – Jangkitan Covid-19 dalam kalangan bayi baru lahir dan kanak-kanak melonjak sehingga 160 peratus, kata Menteri Kesihatan.

Khairy Jamaluddin berkata, sebanyak 6,524 kes jangkitan dalam kalangan kanak-kanak pada minggu epidemiologi kelima dan 16,959 kes pada minggu epidemiologi keenam tahun ini.

Lonjakan mendadak ini amat membimbangkan.

“Bagi tempoh Januari hingga hari ini, sebanyak tiga kes kematian direkodkan dalam kelompok usia sifar (bayi) hingga 11 tahun,” katanya ketika sidang media hari ini.

Khairy berkata, peningkatan jangkitan dalam kalangan kanak-kanak ini boleh diatasi melalui Program Imunisasi Covid-19 Untuk Kanak-Kanak atau PICKids yang sedang berjalan.

“Memang betul, bagi bayi yang baru lahir hingga berusia empat tahun, tiada lagi vaksin dan ia juga situasi sama di seluruh dunia.

“Tetapi untuk kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun, vaksin sudah disediakan kerajaan, justeru kita amat menggalakkan mereka khususnya ibu bapa untuk tampil membawa anak mereka mendapatkan suntikan pelalian,” tambah beliau.

Sementara itu, katanya lagi, kemerosotan kesihatan dalam kalangan pesakit Covid-19 daripada kategori 3 hingga 5 golongan dewasa adalah sangat kecil.

Berdasarkan data pada Januari lalu, hanya 1.2 peratus kesihatan pesakit daripada kategori 1 dan 2 merosot ke kategori 3.

Manakala, hanya 0.6 peratus kesihatan pesakit kategori 1 dan 2 merosot hingga ke kategori 4 serta 5.

“Kita akan terus kemas kini data ini pada Februari bagi memberi penjelasan dan gambaran lebih menyeluruh kepada masyarakat,” kata Khairy lagi.

Dalam masa yang sama, Khairy memaklumkan, sebanyak 77.5 peratus daripada kes positif dalam kategori 3,4 dan 5 yang direkodkan pada semalam adalah dalam kalangan belum menerima vaksin atau dos penggalak.

“Untuk kita memastikan kes kategori 3, 4 dan 5 yang membimbangkan ini dapat kurangkan, kita minta mereka yang belum dapatkan vaksin, dapat melakukannya dengan segera.

“Dos penggalak bukanlah jaminan kita tidak dijangkiti Covid-19 tetapi berdasarkan data ini menunjukkan dos penggalak membantu mencegah gejala serius daripada penyakit Covid,” katanya. – MalaysiaGazette