Hasil pemeriksaan, polis menjumpai 492 karton yang bersamaan 73,056 batang rokok tanpa cukai dipercayai rokok seludup dianggarkan bernilai RM40,000.

MELAKA – Padah menjadi penghantar rokok seludup dengan upah RM200 bagi satu trip perjalanan, seorang lelaki diberkas polis di Taman Botanikal, Ayer Keroh semalam.

Suspek berusia 39 tahun ditahan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Melaka Tengah dalam Op Kontraban kira-kira pukul 3.30 petang semalam ketika dalam perjalanan menghantar rokok berkenaan ke Kuala Lumpur.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, tangkapan dibuat hasil maklumat awam sebelum polis mengekori dan menahan kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Inova dipandu suspek berhampiran Taman Botanikal, Ayer Keroh.

“Hasil pemeriksaan, polis menjumpai 492 karton yang bersamaan 73,056 batang rokok tanpa cukai dipercayai rokok seludup dianggarkan bernilai RM40,000.

“Siasatan awal suspek mengakui hanya bertindak sebagai transporter dan datang dari Kuala Lumpur menaiki sebuah kereta dipandu seorang lagi individu tidak dikenali untuk mengambil MPV berkenaan yang sudah dimuatkan dengan rokok dari kawasan parkir di Malim.

“Suspek turut mengaku menerima upah RM200 bagi satu trip penghantaran ke Kuala Lumpur sejak Oktober tahun lalu dan hanya mengetahui lokasi penghantaran sebaik berjaya melepasi Plaza Tol Sungai Besi,” katanya.

Tambahnya susulan itu, lelaki terbabit yang bekerja sambilan sebagai juruteknik di Kuala Lumpur direman selama tiga hari sehingga 19 Februari ini.

Christopher berkata, dalam tangkapan itu, polis turut
merampas MPV terbabit yang menggunakan nombor pendaftaran palsu serta tiga buah telefon bimbit yang dianggarkan berjumlah RM30,000.

Kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 yang memperuntukkan denda tidak kurang dari 10 kali ganda dari jumlah duti Kastam dan Seksyen 108(3)(f) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.- MalaysiaGazette