Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang majlis penyampaian van jenazah oleh Zakat Pulau Pinang (ZPP) di Masjid Daerah Seberang Perai Tengah hari ini.

BUKIT MERTAJAM – Pulau Pinang masih mengekalkan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) sedia ada di masjid dan surau bagi aktiviti keagamaan sepanjang bulan Ramadan nanti.

Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP), Datuk Ir Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman berkata, setakat ini, tiada sebarang perubahan dengan garis panduan yang dikeluarkan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Pulau Pinang (JHEAINPP) mengenai aktiviti di masjid dan surau.

Ahmad Zakiyuddin.

Bagaimanapun, beliau berkata, perkara itu akan dikaji semula sekiranya Majlis Keselamatan Negara (MKN) atau Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaksanakan SOP yang lebih ketat susulan peningkatan kes positif Covid-19 ketika ini.

“Ketika ini kita masih mengekalkan SOP sedia ada di masjid dan surau di negeri ini. Belum ada sebarang perbincangan atau arahan yang diterima untuk mengubah SOP berkenaan.

“SOP yang dilaksanakan pada ketika ini dilihat sudah mencukupi untuk diteruskan pada bulan Ramadan sekiranya ia dipatuhi sepenuhnya jemaah,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis penyampaian van jenazah oleh Zakat Pulau Pinang (ZPP) di Masjid Daerah Seberang Perai Tengah hari ini.

Zakat Pulau Pinang menyumbangkan enam buah van jenazah kepada Masjid Negeri dan lima masjid daerah negeri ini.

Hadir sama, Timbalan Yang Dipertua MAINPP, Datuk Roslan Ahmad; Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP), Datuk Mohd Zakuan Zakaria dan Ketua Pegawai Eksekutif ZPP, Amran Hazali.

Pada majlis itu, sebanyak RM872,280 diperuntukkan oleh ZPP dalam bentuk sumbangan van jenazah kepada Masjid Negeri serta lima buah masjid di setiap daerah di negeri ini.

Zakat Pulau Pinang memberikan enam buah van jenazah kepada Masjid Negeri dan masjid daerah.

“Sumbangan van jenazah itu dilakukan bagi memudahkan kerja-kerja pengurusan jenazah di masjid tersebut atau masjid berdekatan jika berlaku pertindihan penggunaan,” kata Ahmad Zakiyuddin.

Dalam perkembangan lain,  Ahmad Zakiyuddin berkata, sehingga kini tiada kes penularan Covid-19 yang dilaporkan di masjid serta surau di negeri ini. – MalaysiaGazette