Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof

KUANTAN – Seorang suri rumah berputih mata selepas kerugian RM3,500 selepas diperdaya dengan sindiket emas lelong menerusi laman Facebook, baru-baru ini.

Ketua Bahagian Jabatan Sisasatan Jenayah Komersial Negeri, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, wanita berusia 33 tahun itu telah membuat tiga transaksi berjumlah RM3,500 untuk pembelian emas yang tidak wujud.

”Pengadu telah melihat iklan jualan emas lelong yang ditawarkan ketika melayari Facebook pada 14 Februari lalu.

”Kemudian mangsa berurusan dengan seorang wanita dan menyatakan minat untuk membeli seutas rantai dengan tawaran harga RM1,500 serta seutas rantai tangan dengan tawaran harga RM500,” katanya menerusi kenyataan.

Mangsa bertindak memasukkan duit ke dalam akaun yang diberikan sebanyak tiga kali berjumlah RM3,500 termasuk RM2,000 sebagai wang jaminan yang akan dipulangkan semula.

Namun selepas duit dimasukkan suspek tidak dapat dihubungi lagi.

Pengadu yang menyedari ditipu membuat laporan polis di Balai Polis Kuantan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan boleh dikenakan sebat dan denda jika sabit kesalahan. – MalaysiaGazette