kes saman ali puteh
Isteri kepada pelawak Allahyarham Abam Bocey, Siti Norhidayah Mohd Ali

KUALA LUMPUR – Tiada ungkapan yang mampu dilafazkan oleh balu kepada Allahyarham Abam Bocey, Siti Nor Hidayah Mohd Ali selain mengalirkan air mata gembira tanda kesyukuran berhubung keputusan mahkamah yang memerintahkan adik iparnya, Ali Puteh membayar RM60,000 terhadapnya.

Siti Nor Hidayah, 30, yang memakai baju kurung berwarna merah hati itu dilihat memeluk erat bapanya, Mohd Ali Bahtin di hadapan pintu mahkamah sambil mengucapkan rasa syukur.

Ketika ditemui selepas prosiding, Siti Nor Hidayah turut menyampaikan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang sentiasa mendoakan dirinya bersama anak tunggalnya, Syed Uthman Hamzah Al-Juffrey.

“Terima kasih yang sentiasa mendoakan saya dengan anak, saya bersyukur sangat-sangat sebab hari ini pun hari Jumaat, memang saya bersyukur,” katanya kepada pemberita di luar Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur di sini hari ini.

Artikel berkaitan:

Dalam pada itu, Siti Nor Hidayah berkata, dia juga sudah memaafkan semua individu yang pernah melemparkan pelbagai kecaman terhadap dirinya.

“Saya maafkan semua apa yang orang kata pada saya, terima kasih,” ujarnya.

Terdahulu, Mahkamah Sesyen di sini hari ini memerintahkan pelawak dan pelakon, Ali Puteh membayar RM60,000 kepada kakak iparnya, Siti Nor Hidayah berhubung kenyataan mengaibkan di laman Instagram, dua tahun lalu.

Hakim Zulqarnain Hassan mengeluarkan perintah itu selepas membenarkan saman fitnah yang dikemukakan Siti Nor Hidayah, selaku plaintif terhadap Ali Puteh atau nama sebenarnya Syed Ali Mubarak Syed Mohd Ridzuan, 34, selaku defendan.

Ketika membaca keputusan penghakimannya, hakim Zulqarnain berkata, hantaran yang dibuat oleh Ali Puteh menjatuhkan maruah dan amat mengaibkan isteri kepada Allahyarham Abam Bocey itu. – MalaysiaGazette