Murid akan menerima kit ujian kendiri berserta Slip Pengesahan Pelaksanaan Ujian Kendiri Covid-19 untuk dibawa pulang bagi melakukan ujian saringan kendiri di rumah sebelum dibenarkan ke sekolah bertujuan mencegah penularan virus tersebut ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Sekolah Kebangsaan Pandan Perdana, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 12 JANUARI 2022.- Gambar hiasan.

KEADAAN Covid-19 semakin berleluasa. Semakin hari, ledakan varian baru seperti tidak menunjukkan tanda akan berakhir. Malahan terdapat banyak varian baru yang melanda dunia.

Kehidupan manusia juga berubah daripada pelbagai sudut semenjak lebih dua tahun Covid-19 ini melanda dunia termasuk sektor ekonomi, pekerjaan, persekolahan, aktiviti sukan dan aktiviti sosial.

Manusia tidak lagi bebas untuk menjalankan aktiviti harian seperti biasa.

Walaupun ada sesetengah negara yang cuba melonggarkan SOP bagi membenarkan aktiviti berjalan seperti biasa tetapi apabila
kadar jangkitan meningkat menyebabkan SOP diperketatkan semula.

Pelbagai usaha telah dilakukan untuk membendung wabak ini termasuk SOP dan juga program vaksinasi di seluruh dunia bagi memastikan manusia dapat dilindungi daripada wabak ini.

Di Malaysia, kelonggaran diberikan sedikit demi sedikit disebabkan oleh majoriti rakyat telah menerima vaksin termasuk golongan kanak kanak.

Kini dos penggalak diperluaskan bagi menambahkan imunisasi dalam masyarakat Malaysia.

Kedai-kedai telah dibuka, aktiviti perlancongan tempatan telah dibenarkan untuk beroperasi, pelajar universiti telah dibenarkan belajar, sesetengah sekolah sudah dibenarkan untuk
beroperasi.

Aktiviti sukan dan riadah juga dibenarkan, majlis kahwin dan pelbagai majlis keramaian juga telah dibenarkan dan pelbagai perkara lagi telah dilonggarkan.

Walaubagaimanapun, terdapat kebimbangan apabila sekolah menengah dan sekolah rendah ada masih lagi tidak dapat beroperasi sepenuhnya.

Jika ada yang telah beroperasi pun, ada kelas-kelas yang terpaksa ditutup kerana terdapat kes Covid-19 di kalangan murid atau guru.

Sampai bilakah kita membiarkan anak anak belajar dalam keadaan PDPR?

Bagaimana dengan pelajar yang tidak mempunyai kemudahan komputer serta internet di rumah? Bagaimana pula dengan keluarga yang mempunyai ramai anak?

Adakah mereka mampu menyediakan setiap anak satu kcomputer sedangkan proses pembelajaran dilakukan serentak?

Sampai bilakah anak anak ini tidak diberi hak untuk belajar bersemuka? Dua, tiga, lima tahun atau 10 tahun?

Berbeza dengan keadaan di Belgium, tempat kami mengikuti pembelajaran post-doctoral di KU Leuven.

Kami merasakan perlu ada perubahan dari segi pembelajaran anak anak di Malaysia, dengan mengambil contoh apa yang berlaku di Belgium.

Di Belgium, kedatangan COVID-19 tidak merubah banyak aktiviti
sekolah. Sekolah tidak pernah ditutup kecuali sewaktu cuti. Lock-down  pernah dilakukan itu pun hanya sekali.

Anak anak yang bergejala dikehendaki menjalankan ujian calitan dan dikuarantinkan.

Kelas hanya ditutup jika terdapat lima orang pelajar positif dalam sesebuah kelas selama lima hari. Kelas yang tiada kaitan, bersekolah seperti biasa.

Sekarang, tiada lagi kelas ditutup walaupun ada pelajar yang positif Covid-19 di dalam kelas. Hanya pelajar berkenaan sahaja dicutikan dan dikuarantin 10 hari.

Pelajar yang lain jika bergejala perlu melakukan ujian swab manakala pelajar yang lain pergi ke kelas seperti biasa.

Kelas yang lain berjalan seperti biasa. Mereka amat menitik beratkan dan serius tentang pelajaran anak anak.

Jika anak-anak tidak hadir ke sekolah sebanyak empat kali tanpa alasan yang kukuh, mereka akan membuat laporan polis dan polis akan datang menyiasat ibu bapa berkenaan.

Apa yang kita boleh dilakukan di Malaysia? Semua orang berbicara tentang fasa endemik di mana kita harus menerima hakikat untuk hidup bersama virus.

Ini bermakna kita menganggap jangkitan Covid-19 seperti jangkitan influenza atau jangkitan pernafasan yang lain.

Hanya mereka yang dijangkiti dan bergejala perlu mengambil cuti sakit, mendapatkan rawatan dan berehat di rumah.

Manakala, individu lain seperti kawan sekelas dan ahli keluarga perlu menjalani kehidupan seperti biasa. Tidak perlu dikuarantin dan tidak perlu menutup kelas atau sekolah.

Ini selaras dengan saranan terbaru Menteri Kesihatan, Khairy Jamaludin tentang pemansuhan isolasi kontak rapat.

Dengan cara ini, anak-anak berpeluang menghabiskan majoriti waktu persekolahan di sekolah bersama kawan-kawan bukan di rumah.

Ini sangat penting untuk perkembangan minda dan fizikal anak-anak yang sedang membesar.

Namun mereka perlu diingatkan tentang pematuhan SOP. Kerap mencuci tangan dan mengamalkan etika batuk bukan sahaja perlu diamalkan sekarang untuk mencegah COVID-19, tetapi perlu diamalkan sepanjang masa.

Tidak dinafikan, ada ibu bapa yang sangat risau tentang keberadaan anak-anak mereka di sekolah.

Mereka sanggup memberi cuti kepada anak-anak kerana bimbangkan jangkitan Covid-19.

Ibu bapa tidak perlu panik dan bersikap overprotective. Untuk pengetahun, kebanyakan jangkitan Covid-19 di kalangan kanak-kanak adalah sangat ringan.

Mereka bukanlah golongan berisiko tinggi untuk mendapat jangkitan yang teruk.

Tambahan pula program PICKids telah bermula dan vaksin boleh diberikan kepada anak berumur 5 hingga 12 tahun.

Agama Islam juga mewajibkan umatnya untuk menuntut ilmu. Ayat pertama al Quran diturunkan kepada Rasulullah SAW dalam surah Al-‘Alaq yang memiliki arti ‘Bacalah.’ (QS Al’alaq: 1).

Nabi Muhammad SAW juga ada bersabda maksudnya, “Barangsiapa yang menginginkan urusan dunia, maka wajiblah baginya berilmu. Dan barangsiapa yang ingin urusan akhirat (selamat di akhirat) maka wajiblah ia memiliki ilmu juga. Dan barangsiapa yang menginginkan keduanya, maka hendaklah ia memiliki ilmu tentangnya juga.” (HR Bukhari dan Muslim).

Ini menunjukkan ilmu sangat penting untuk dipelajari. Masa depan negara terletak kepada generasi akan datang.

Anak anak dikehendaki meneruskan pembelajaran dan pengajarannya seperti biasa setelah hampir tiga tahun tidak bersekolah.

Jangan kita abaikan masa depan mereka dan masa depan negara pada masa hadapan. Wallahualam.

Prof Madya Dr. Aspalilah Alias dan Prof Madya Dr Nurul Azmawati Mohamed.

Mahasiswa Postdoktoral Researcher, KU Leuven, Belgium.-MalaysiaGazette.

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast