Chang Lih Kang

KUALA LUMPUR – Hubungan PKR dengan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) dikatakan retak dipercayai berpunca daripada pengagihan kerusi yang belum selesai.

Muda yang secara sah menyertai gabungan Pakatan Harapan (PH) dikatakan tidak berpuas hati dengan tiga kerusi diperuntukan PKR kepadanya untuk bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor 12 Mac ini.

MalaysiaGazette sempat mengesan ketidakpuasan hati pimpinan PKR terhadap parti Muda itu menerusi ciapan Twitter Naib Presidennya, Chang Lih Kang hari ini.

Walaupun tidak menamakan parti mana, ciapan itu dipercayai dituju kepada Muda berdasarkan pengagihan kerusi yang belum selesai antara parti komponen PH.

“Rundingan melibatkan dua pihak. Tapi kalau aku tak bagi kerusi yang kau nak, salah aku.

“Kerusi yang aku tawarkan kau tak nak, salah aku juga. Itu bukan rundingan, itu namanya serahan,” ciapnya yang turut meletakkan tanda pagar #Angkuh.

Sebelum ini, media melaporkan parti Muda ditawarkan bertanding di enam kerusi DUN pada PRN Johor.

Perkara itu dimaklumkan dalam kenyataan bersama yang ditandatangani Presiden Amanah, Mohamad Sabu; Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng; dan Presiden Muda, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Enam kerusi ditandingi Muda ialah DUN Tenang, Bukit Kepong, Parit Raja, Machap, Puteri Wangsa dan Bukit Permai.

Daripada keseluruhan kerusi DUN itu, DAP bersetuju memberi dua kerusi kepada Muda iaitu Machap dan Bukit Permai.

Bagaimanapun, Syed Saddiq dalam kenyataannya hari ini menyatakan, parti itu akan serahkan keputusan kepada rakyat Johor jika berlaku pertindihan kerusi yang tidak dapat dielakkan dengan PKR. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

PRN Johor: Muda tak tolak kemungkinan pertindihan kerusi dengan PKR