ismail sabri
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Ismail  Sabri Yaakob hari ini memperoleh perintah injunksi sementara daripada Mahkamah Tinggi di sini supaya pemilik Agenda Daily Media Enterprise memadamkan artikel yang didakwa memfitnah perdana menteri yang diterbitkan oleh portal berita berkenaan, bulan lepas.

Peguam Joshua Tan yang mewakili perdana menteri itu berkata Pesuruhjaya Kehakiman Evrol Mariette Peters membenarkan permohonan ex-parte (sebelah pihak) dikemukakan Ismail Sabri selaku plaintif terhadap Muhamad Izwan Mohd Zubit sebagai defendan dalam prosiding yang berlangsung secara dalam talian, petang ini.

“Mahkamah mengeluarkan perintah supaya defendan mengeluarkan artikel bertajuk ‘Ismail Sabri bimbang jadi PM paling singkat, ‘rayu’ jangan tarik sokongan’ di Agenda Daily dan injunksi untuk Agenda Daily daripada membuat sebarang kenyataan untuk menyatakan/membawa maksud bahawa Ismail Sabri terdesak untuk kekal sebagai PM dan Ismail Sabri ‘rayu’ atau ‘akan rayu’ kepada parti politik untuk tidak menarik balik sokongan mereka untuk beliau kekal sebagai PM.

“Perintah ex-parte itu selama 21 hari dan perbicaraan inter-parte (dua pihak) ditetapkan pada 4 Mac,” kata peguam itu.

Ismail Sabri, 60, memohon perintah injunksi itu  dalam kes saman difailkannya terhadap Muhamad Izwan, 37, semalam di Mahkamah Tinggi di sini yang didakwa menerbitkan artikel memfitnahnya di laman web tersebut.

Dalam pernyataan tuntutannya, Ismail Sabri yang menfailkan saman atas kapasiti peribadinya mendakwa pada 30 Jan lepas, Agenda Daily Media telah menerbitkan artikel berkenaan di dalam laman webnya yang mengandungi pelbagai kenyataan-kenyataan berniat jahat, fitnah dan tidak benar berkenaan dengan plaintif.

Beliau mendakwa artikel itu telah diterbitkan semula di dalam satu laman web dikenali sebagai “The MalaysiaLife” iaitu portal berita dalam talian, yang boleh diakses oleh orang ramai.

Plaintif mendakwa artikel berkenaan antaranya membawa maksud bahawa beliau terdesak untuk terus menjadi perdana menteri dengan apa cara sekalipun dan sanggup merayu kepada parti politik tertentu supaya tidak menarik sokongan terhadapnya selain mendakwa tempohnya sebagai perdana menteri adalah tempoh yang paling singkat di dalam sejarah Malaysia.

“Artikel itu juga membawa maksud saya tidak setia dengan UMNO dan hanya berminat untuk terus menjadi perdana menteri tanpa mengira kepentingan UMNO dan lebih bimbang tentang kedudukan saya sebagai perdana menteri dan bukannya kepentingan negara,” dakwa plaintif dalam pernyataan tuntutan itu.

Akibat daripada penerbitan artikel itu, Ismail Sabri mendakwa reputasinya sebagai seorang ahli UMNO dan sebagai perdana menteri telah tercemar dan turut menyinggung perasaannya.

“Penerbitan itu juga telah menyebabkan emosi saya terganggu dan kenyataan-kenyataan fitnah yang terkandung di dalam artikel itu juga boleh membawa kesan buruk kepada kerjaya politik saya,” dakwanya.

Menurut Ismail Sabri walaupun peguamnya telah menghantar surat tuntutan bertarikh 3 Feb lepas memohon defendan memadamkan artikel tersebut dan memohon maaf, namun sehingga hari ini ia masih belum dilaksanakan.

Oleh itu, Ismail Sabri memohon satu perintah injunksi agar defendan memadamkan artikel berbaur fitnah itu dalam semua laman web dan media sosial yang dikendalikan oleh defendan selain memohon perintah injunksi untuk menghalang defendan atau ejennya daripada mengeluarkan kenyataan fitnah serupa terhadap plaintif selain defendan diperintah menyerahkan dokumen bagi menunjukkan bahawa artikel terbabit telah dipadamkan dalam tempoh 24 jam dari tarikh penghakiman.

Turut dipohon adalah permohonan maaf daripada defendan dalam bentuk yang akan ditentukan oleh plaintif yang akan diterbitkan dalam laman web Agenda Daily dan di 21 akhbar tempatan dalam tempoh tujuh hari dari tarikh penghakiman.

Selain itu, Ismail Sabri turut menuntut ganti rugi am, tambahan dan teladan yang akan ditaksirkan kemudian oleh mahkamah, faedah sebanyak lima peratus dari tarikh penghakiman sehingga penyelesaian penuh serta kos dan relif-relif lain yang difikirkan sesuai oleh Mahkamah.

— BERNAMA