ISKANDAR PUTERI – Kerajaan tidak pernah memaksa rakyat negara ini, termasuk kanak-kanak berusia antara lima hingga 12 tahun, menerima vaksin Covid-19.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, walaupun kerajaan memberi pilihan namun masyarakat seolah-olah menganggap kerajaan memaksa atau mewajibkan rakyat menerima vaksin.
“Tiada paksaan untuk rakyat sama ada mahu ambil vaksin ke empat, kelima, tiada paksaan. Tiada paksaan juga untuk rakyat terutama kanak-kanak ini untuk diberi vaksin, saya tekankan tiada paksaan.
“Dulu pun peringkat awal vaksin pertama ramai yang hentam atau pun takut untuk ambil kemudian berebut-rebut kita pergi mendapatkan vaksin,” katanya selepas merasmikan Program Usahawan dan Koperasi Keluarga Malaysia, di sini, hari ini.
Hadir pada majlis, Menteri Besar Johor, Datuk Seri Hasni Mohammad; Menteri Pembangunan Usahawan Dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar Dan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kassim.
Menurut Perdana Menteri, kekuatiran dalam kalangan ibu bagai untuk anak mereka di bawah 12 tahun menerima vaksin adalah normal kerana ia baru dilaksanakan.
Berikutan itu, tambah beliau, banyak cerita yang tidak tepat tersebar walaupun kerajaan memberi jaminan tiada isu yang timbul. – MalaysiaGazette