Pemain Selangor FC, Muhammad Safuwan Baharudin (kanan) mengasak pemain Penang FC, Anselmo Arruda Da Silva (kiri) pada Perlawanan Liga Super Malaysia 2021 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Selangor. Foto SYAFIQ AMBAK, 20 MAC 2021.

KUALA LUMPUR – Pemain tengah import Selangor FC, Safuwan Baharudin tidak menolak kemungkinan akan mengakhiri kariernya selepas 11 tahun mewarnai pentas Liga Malaysia.

Tidak menyangka boleh beraksi untuk tempoh lebih sedekad di sini, Safuwan akui banyak kenangan yang sukar dilupakan sejak bersama empat pasukan berbeza iaitu LionsXII, PDRM, Pahang dan Selangor.

Sudah merasai nikmat menjulang Liga Super dan Piala FA, impian Safuwan sebenarnya masih tidak lengkap kerana belum pernah menjulang Piala Malaysia bagi melengkapkan semua koleksi kejuaraan di Liga Malaysia.

“Pejam celik, pejam celik dan tidak sangka sudah 11 tahun saya ada di sini iaitu sudah lebih satu dekad bermain di Liga Malaysia.

“Banyak kenangan tidak boleh dilupakan semasa saya di sini antaranya memenangi Liga Super bersama LionsXII pada musim 2013, gelaran pertama yang saya capai di Liga Malaysia dan antara pencapaian terbaik dalam karier.

“Kemudian, Piala FA ketika dengan Pahang pada 2018 dan itu menjadi salah satu kenangan paling manis kerana masa itu saya beraksi atas status pemain import.

“Cuma satu-satunya trofi yang saya belum menangi ketika ini ialah Piala Malaysia dan berharap saya boleh memenangi pada tahun ketiga di Selangor.

“Untuk akhir karier di sini, saya belum pasti kerana semuanya bergantung kepada soal rezeki kerana kalau ikutkan, saya boleh beraksi selama lima ke enam tahun lagi.

“Mungkin saya boleh bermain di liga lain pada masa akan datang tetapi dalam masa sama saya gembira juga jika berada di sini sehingga di akhir karier,” katanya yang merupakan kelahiran Singapura.

Selain pernah bermain dengan Young Lions ( S League) di awal pembabitan kariernya, Safuwan yang juga antara tonggak utama skuad kebangsaan Singapura pernah bermain selama tiga bulan secara pinjaman di Australia pada tahun 2015.

Dia yang bersama Melbourne Victory turut menjaringkan dua gol dalam enam perlawanan A League.

Selepas bersama dengan LionsXII pada musim 2012 hingga 2015, Safuwan berhijrah PDRM pada dua musim berikutnya sebelum bersama Pahang pada 2018 dan 2019.

Bersama Selangor untuk musim 2022 ini akan menjadi tahun ketiga Safuwan di skuad Red Giants dan dia mengharapkan boleh mencipta kejayaan buat Selangor selepas lalui tempoh yang suram.

“Harap pada musim ini, Selangor boleh terus konsisten pada sepanjang musim kerana perkara ini yang saya tidak dapat dalam dua musim lalu sepanjang berada di sini.

“Rasa paling baik dalam tempoh saya berada di sini ialah suku akhir Piala Malaysia dan harap saya boleh buat lagi baik pada masa akan datang.

“Memang sedikit mengecewakan kerana Selangor tidak dapat capai apa-apa sasaran dalam tempoh lima ke enam tahun.

“Kehadiran empat pemain import baharu serta beberapa pemain tempatan memang satu perubahan yang baik namun seperti mana saya perkatakan, bagaimana kita boleh konsisten sepanjang musim kerana perkara itu paling utama,” katanya. – MalaysiaGazette