Nur Jazlan Mohamed

KUALA LUMPUR – Tan Sri Muhyiddin Yassin didakwa memberi tekanan kepada kerajaan untuk membuka sempadan negara apabila menyatakan cadangan tersebut dipersetujui oleh ahli-ahli Majlis Pemulihan Negara (MPN).

Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO Johor, Datuk Nur Jazlan Mohamed menyifatkan alasan itu tidak masuk akal memandangkan negara ini kembali bergelut dengan kenaikan kes Covid-19.

Malah sehingga hari pun, kerajaan masih mengambil langkah berhati-hati sebelum mengisytiharkan endemik di negara ini.

Pada masa sama, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pula sedang memperhebatkan suntikan vaksin dalam kalangan golongan berisiko dan kanak-kanak.

Nur Jazlan yang hairan dengan cadangan tergesa-gesa MPN itu bertanya, adakah Muhyiddin mahu memadamkan imejnya yang dikenali sebagai “Perdana Menteri lockdown’‘.

“Sekarang ini semasa kes (Covid-19) tinggi, dia pulak suruh bukak sempadan negara. Nak bukak (sempadan) pilih pada awal Mac, sebelum Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

“Ketika kes mula susut semasa dia menjadi perdana menteri, dia isytihar darurat dengan Parlimen pun digantungnya sekali. Macam mana tu,” katanya di sini.

Baru-baru ini MPN mengesyorkan kerajaan membuka sepenuhnya sempadan negara seawal 1 Mac ini tanpa keperluan kuarantin wajib

Muhyiddin yang juga Pengerusi MPN dilaporkan berkata, syor adalah langkah penting bagi menyokong pemulihan negara khususnya dalam sektor ekonomi dan pelancongan, serta mampu menarik pelabur asing ke negara ini.

Nur Jazlan berkata, cara Muhyiddin memetik cadangan pembukaan sempadan negara bukan keputusan peribadinya sama seperti Tun Dr Mahathir Mohamad mempergunakan Majlis Penasihat Kerajaan yang kononnya menasihatkan Kabinet.

Walhal, sepanjang tempoh itu sebarang cadangan majlis berkenaan tidak pernah ada laporan rasmi yang boleh dibuktikan kepada rakyat.

Bahkan ada dalam kalangan ahli majlis tersebut tidak berpuas hati.

“Berhubung dakwaan Muhyiddin bahawa cadangan pembukaan semula negara dipersetujui oleh ahli-ahli majlis, siapa mereka (ahli-ahli) itu?

“Adakah ahli-ahli majlis tersebut juga dilantik oleh Muhyiddin?,” tanya Nur Jazlan lagi.

Beliau turut mempersoalkan, siapa Muhyiddin yang berharap Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bersetuju dengan syor majlis itu agar sempadan dibuka semula seawal 1 Mac ini.

“Saya mempersoalkan perkara ini kerana Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein sudah pun memberi kenyataan bahawa pembukaan sempadan bukan isu mudah dan perlu dibincangkan dengan teliti di peringkat di Kabinet.

“Lagipun perkara ini akan diputuskan oleh Perdana Menteri.

“Muhyiddin ingat dia perdana menteri lagi ke,” soal Nur Jazlan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast