Wan Saiful (tengah) pada siadng media selepas penyerahan memorandum tuntutan pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak RM10,000, di sini, hari ini.

PETALING JAYA – Ahli Majlis Teringgi UMNO, Datuk Mohd Puad Zarkashi dinasihatkan agar tidak berterusan menjadi batu api dengan membuat pelbagai komen terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Teguran itu dibuat oleh Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan yang menyifatkan Puad sebagai individu yang tidak mempunyai kredibiliti untuk sebarang komen terhadap Muhyiddin .

“Saya rasa individu macam Puad Zarkashi ini tiada kredibiliti untuk beri komen mengenai Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Jadi, saya nasihatkan kepada Puad untuk fokus kepada tempatnya dan tak perlu lah untuk jadi batu api dengan buat macam-macam.

“Kita di Perikatan Nasional bagi komitmen kepada kebajikan rakyat, tapi dia (Puad) punya pandangan tak habis-habis dengan membuat fitnah yang boleh membawa kepada perpecahan,” katanya pada sidang media selepas menerima serahan memorandum tuntutan pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak RM10,000, di sini, hari ini.

Beliau ditanya mengenai pandangannya berhubung status pada hantaran Facebook Puad hari ini yang menimbulkan persoalan terhadap Bersatu termasuk Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh.

Menerusi hantaran itu, Puad mempersoalkan berapa jumlah cawangan Bersatu di Pagoh serta cawangan UMNO yang ditutup untuk menjadi cawangan Bersatu.

Puad dipercayai merujuk ucapan Muhyiddin dalam satu ceramah di Johor baru-baru ini menggunakan perkataan ‘poda’ selepas merujuk Johor sebagai kubu kuat UMNO.

Dalam hantaran itu Puad turut menyatakan Muhyiddin sudah ‘dipodakan’ oleh rakyat apabila menjadi perdana menteri cuma 17 bulan dan mahu rakyat melihat keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor selepas 12 Mac depan. – MalaysiaGazette