KUALA LUMPUR – DAP kecewa dengan sikap berat sebelah dan amalan dua darjat Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam mengumumkan prosedur operasi standard (SOP) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 12 Mac.
Ini diserlahkan apabila SPR hanya membenarkan ceramah tertutup diadakan di pejabat parti politik dan bilik gerakan dengan maksimum 100 orang, kata Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.
Keadaan ini berbeza dengan perhimpunan seramai 2,000 orang pada pelancaran kempen pilihan raya Perikatan Nasional (PN) di Kota Tinggi, Johor malam tadi.
”Adalah tidak masuk akal dan tidak logik acara seramai 2,000 orang yang diadakan secara terbuka oleh PN dibenarkan sebelum Hari Penamaan Calon tetapi parti pembangkang tidak boleh melakukan perkara yang sama, semasa tempoh berkempen selepas Hari Penamaan Calon.
”Adakah SPR mendengar nasihat profesional dalam melarang ceramah di kawasan terbuka atau awam walaupun pakar kesihatan berpendapat bahawa kawasan terbuka mempunyai risiko penularan Covid-19 yang lebih rendah berbanding ruang tertutup kerana pengudaraan yang lebih baik?
Guan Eng berkata, SPR tidak sepatutnya mendengar “nasihat politik” tetapi bersikap bebas dan berkecuali untuk mengelak daripada dilihat sebagai memihak kepada Barisan Nasional dan Perikatan Nasioanl sebagai parti pemerintah berbanding parti pembangkang.
Sebaliknya, SPR harus membenarkan ceramah terbuka dengan mengenakan semua prosedur operasi standard (SOP) termasuk pemakaian pelitup muka, vaksinasi penuh dan penjarakan sosial.
Sekatan seperti ini mungkin masuk akal sebelum vaksinasi secara besar-besaran, sedangkan populasi negara sudah memasuki peringkat dos ketiga.
”Memandangkan kerajaan juga mempertimbangkan untuk membuka semula sempadan antarabangsa, sekatan ke atas ceramah dan kempen seperti ini yang mungkin sesuai untuk situasi Covid-19 dua tahun lalu adalah tidak konsisten dan tidak kena pada keadaan masa kini,” ujar beliau.
Semalam, SPR mengumumkan penganjuran ceramah, syarahan dan kempen secara fizikal dan ziarah rumah ke rumah dibenarkan sepanjang 14 hari tempoh berkempen PRN Johor.
Menurut prosedur operasi standard (SOP) dikeluarkan, ceramah dan kempen hanya dibenarkan di pejabat parti dan bilik gerakan parti yang rasmi dengan kehadiran tidak melebihi 100 orang.
Namun, penganjur perlu mendapatkan permit daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi ceramah, syarahan dan kempen diadakan.
Tempoh setiap sesi ceramah, syarahan, kempen hanya selama dua jam dan tidak melebihi jam 10 malam manakala ceramah, kempen dan syarahan di premis yang terbuka atau tempat umum adalah tidak dibenarkan, selain sebarang bentuk hiburan semasa berkempen turut tidak dibenarkan.
Bagi SOP kempen ziarah rumah ke rumah, penyertaan adalah tidak melebihi lima orang namun tidak dibenarkan masuk ke dalam rumah atau berjumpa dengan ahli rumah dan aktiviti mengedarkan risalah perlu dibuat di luar pagar.- MalaysiaGazette