Tommy Thomas

KUALA LUMPUR – Bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas menafikan beliau menutup kes pertuduhan dadah melibatkan anak seorang ahli perniagaan terkenal sebelum ini.

Menerusi satu kenyataan, Thomas menjelaskan, beliau hanya mengurangkan dakwaan yang dikenakan terhadap anak Tan Sri Vincent Tan selepas pasukan peguam bela mengemukakan representasi bertulis agar dipertimbangkan semula keputusan pertuduhan.

Menurut Thomas, beliau mengurangkan pertuduhan selepas meneliti representasi dan kertas siasatan, mengkaji peruntukan undang-undang berkaitan dan perbincangan dengan pegawai kes.

”Seingat saya dalam kes ini, tertuduh iaitu anak kepada ahli perniagaan terkenal Vincent Tan ditangkap atas kesalahan dadah dan didakwa.

”Seperti biasa dalam hal jenayah, peguam yang mewakili tertuduh mengemukakan representasi bertulis kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk mempertimbangkan semula keputusan pertuduhan. Surat ini dibawa ke perhatian saya, atas keputusan saya.

“Menerima representasi daripada peguam dan tertuduh serta mengurangkan atau menggugurkan pertuduhan selepas itu adalah perkara biasa dalam AGC (Jabatan Peguam Negara),” katanya seperti yang dilaporkan Awani.

Sebelum ini, satu posting di akaun twitter Edisi Khas mendakwa Thomas telah menutup kes melibatkan anak ahli perniagaan tersebut yang ditahan pada Disember 2019 kerana memiliki dadah dengan kuantiti yang banyak dan didakwa di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya.

Thomas berkata, dakwaan Edisi Khas bahawa beliau melakukan rasuah dalam konteks posting itu membayangkan bahawa dirinya telah disogok.

”Sepanjang kerjaya profesional saya dan dalam kehidupan peribadi saya, saya tidak pernah membayar rasuah. Sepanjang saya berkhidmat sebagai pegawai awam, saya tidak pernah menerima rasuah.

”Integriti, kejujuran dan kebenaran adalah nilai yang diterapkan dalam diri saya sebagai anak kecil, dan dipupuk di sekolah. Mereka telah melayani saya dengan baik semasa dewasa.

”Akhirnya, integriti, kejujuran dan kebenaran adalah nilai berharga bagi saya. Dakwaan bahawa saya telah disogok semasa saya mengambil keputusan ini oleh itu dinafikan sekeras-kerasnya,” katanya lagi.

Thomas berkata, beliau tidak mengenali Tan sebelum pelantikannya sebagai peguam negara atau bertindak untuk hartawan itu semasa kerjayanya.

”Saya tidak pernah bertindak untuknya atau banyak syarikat yang dia bina. Saya telah kembali ke Bar selama kira-kira 18 bulan, dan masih tidak mewakili Tan atau perniagaannya,” katanya lagi.

Thomas mendakwa serangan buruk terhadap integritinya ada kaitan dengan perbicaraan bekas pegawai bank Goldman-Sachs, Roger Ng yang baru dimulakan di New York, melibatkan penipuan penggunaan wang milik Malaysia. – MalaysiaGazette