Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim.

GEORGE TOWN – Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor berpendapat cadangan untuk mengambil tindakan undang-undang bagi membatalkan penukaran agama Islam anak-anak Loh Siew Hong dilihat tidak praktikal dan bimbang akan mengusutkan lagi keadaan.

Kata beliau, cadangan Pengerusi Pusat Perkhidmatan Hindu (Ingat) itu juga boleh mengeruhkan kejernihan hubungan antara masyarakat Hindu dan masyarakat Islam di negara ini.

“Orang bukan Islam perlu tahu bahawa daripada perspektif agama Islam, keislaman seseorang tidak terbatal menerusi keputusan mahkamah selagi dia sendiri tidak mengaku keluar daripada agama Islam dengan kerelaannya tanpa sebarang paksaan daripada sesiapa.

“Saya berpandangan bahawa kemelut ini boleh ditangani dengan mudah jika kesemua pihak terbabit sudi berlapang dada dan ingin mencari penyelesaian dengan ikhlas tanpa menganiayai sesiapa pun.

“Persoalan utama dalam kes ini ialah menghimpunkan semula ibu (Siew Hong) dengan anak-anaknya yang telah terpisah sekian lama sekali gus meneruskan ikatan kasih sayang antara mereka,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Menurut Wan Salim, tujuan itu boleh direalisasikan tanpa membatalkan keislaman budak-budak terbabit dan memaksa mereka kembali kepada agama asal.

“Pihak berkuasa boleh membenarkan ibu kanak-kanak itu bertemu dengan mereka sekerap mungkin di mana-mana tempat yang selamat, malah Siew Hong boleh membawa anak-anaknya pulang ke rumah secara berkala, contohnya pada hujung minggu di bawah pengawasan Polis Diraja Malaysia.

“Perlu diketahui bahawa agama Islam tidak menghalang sama sekali anggota-anggota sebuah keluarga yang berbeza agama untuk tinggal serumah, malah mereka boleh makan bersama asalkan tidak melibatkan makanan yang haram.

“Saya juga mencadangkan agar mereka (kanak-kanak) dimasukkan ke sekolah asrama yang terjamin dari aspek kebajikan dan keselamatan,” kata beliau.

Tambah beliau, cadangan yang dikemukakan adalah langkah terbaik bagi menyelesaikan kemelut yang terjadi.

“Saya percaya dengan cara ini tiada mana-mana pihak teraniaya sekali gus dapati mengelak sensitiviti umat Islam yang mungkin menganggap pihak tertentu ingin memaksa penganut Islam supaya murtad daripada agamanya,” jelas Wan Salim.

MalaysiaGazette pada Jumaat lalu melaporkan, Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (Pembela) menggesa pihak berkuasa agar menyiasat Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, Dr P. Ramasamy yang dilihat melakukan provokasi berhubung isu anak-anak Siew Hong yang memeluk Islam.

Presidennya, Aminuddin Yahaya mendakwa, Ramasamy berniat jahat dalam isu tersebut apabila beliau bukannya membincangkan berkenaan hak jagaan anak Siew Hong, sebaliknya lebih cenderung kepada mempertikai pengislaman ketiga-tiga kanak-kanak berkenaan. – MalaysiaGazette