MELAKA – Seorang bekas pengarah syarikat pelaburan dan isterinya mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh hari ini atas pertuduhan menerima deposit tanpa lesen berjumlah RM68,385, empat tahun lalu.

Tertuduh, Suchart Ee @ Quah, 58, dan isterinya, Kamontip Chu @ Chim, 50, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Rohatul Akmar Abdullah sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan, kedua-dua tertuduh bersama seorang lagi suspek yang masih bebas telah menerima deposit daripada Jamaluddin Jaafar, 57, berjumlah RM68,385 tanpa suatu lesen yang sah yang diberikan di bawah Sekyen 10 Akta Perkhidmatan Kewangan 2013.

Perbuatan itu dilakukan di Syarikat Giganation Gib Berhad beralamat di Taman Bukit Beruang Permai dalam daerah Melaka Tengah pada 22 Januari 2020.

Sabit kesalahan, boleh dipenjara maksimum 10 tahun atau denda tidak lebih RM50 juta atau kedua-duanya sekali di bawah Seksyen 137(1) Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 137 (2) akta sama.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nur Syazwanie Marizan mencadangkan setiap tertuduh dibenarkan jaminan RM12,000 dengan seorang penjamin.

Peguam S Daniel bagaimanapun memohon jaminan rendah dengan alasan kedua-dua pasangan suami isteri itu mempunyai tiga anak yang tidak bekerja, selain menjaga ibu
yang lumpuh.

Selain itu, anak guamnya juga kini tidak bekerja dan telah menggunakan RM65,000 untuk jaminan pertuduhan kes sama di Mahkamah Sesyen Butterworth dan Sungai Petani sebelum ini serta telah memulangkan semula separuh wang kepada pengadu.

Selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak, mahkamah membenarkan kedua-dua tertuduh dijamin sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 11 Jun ini sebagai tarikh sebutan semula ke untuk serahan dokumen.

Kedua-dua tertuduh turut dikenakan syarat tambahan melapor diri di balai polis berhampiran sekali bulan sehingga kes selesai dan tidak boleh menggangu saksi. – MalaysiaGazette