Chow Kon Yeow.

GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Chow Kon Yeow menyifatkan pelaksanaan Projek Air Perak-Pulau Pinang akan memanfaatkan tiga negeri di utara Semenanjung.

Jelas beliau, pelaksanaan itu turut akan menjamin keperluan 32,993 pengguna di daerah Seberang Perai Selatan (SPS) yang kini terjejas.

Kon Yeow yang juga Pengerusi Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) berharap projek yang telah tertangguh selama 13 tahun itu akan dapat direalisasikan bagi memastikan kelestarian pembekalan air kepada rakyat negeri ini.

“Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan PBAPP amat mengalu-alukan perkembangan terbaru Projek Air Perak – PulauPinang yang telah diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam.

“Secara keseluruhan, pelaksanaan Projek Air Perak-Pulau Pinang ini penting susulan pusat-pusat pembangunan sedia ada, dalam proses serta bakal diwujudkan kelak di kawasan Seberang Perai.

“Justeru, berasaskan komitmen Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan PBAPP yang tidak pernah berbelah bahagi untuk memastikan kelestarian pembekalan air kepada rakyat negeri ini,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Semalam, Anwar mengumumkan Pulau Pinang bakal menerima bekalan air melalui Taman Perindustrian Hijau Bersepadu Kerian ke Seberang Perai.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, persetujuan pembekalan air itu dibuat Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.

“Fasa pertama, bekalan air tersebut akan meliputi kawasan Seberang Perai Selatan (SPS) termasuk Nibong Tebal dan Sungai Bakap,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast