Suspek yang juga pemegang kat OKU itu akan diserahkan kepada Polis Brickfields bagi membantu siasatan kes dadah.

ALOR SETAR – Tindakan seorang lelaki berstatus berkelainan upaya (OKU) melanggar lampu isyarat sebelum melarikan diri daripada anggota trafik gagal selepas ditahan polis semalam.

Lelaki berusia 39 tahun itu ditahan di Jalan Stadium Darul Aman, pada jam 11.50 pagi sebelum pemeriksaan mendapati dia kehendaki polis, membabitkan kes dadah di Brickfield, Kuala Lumpur.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, tangkapan itu dilakukan ketika anggotanya melakukan rondaan cegah kemalangan dan penguatkuasaan di laluan berkenaan.

Kata beliau, suspek dilihat menunggang motosikal dalam keadaan mencurigakan sebelum bertindak melanggar lampu isyarat.

“Anggota di lokasi mengejar suspek dan sebaik menyedari kehadiran polis, suspek cuba melarikan diri dengan menyeberangi ke arah sebuah hotel.

“Bagaimanapun, dia gagal mengawal motosikalnya menyebabkan dia melanggar sebuah kereta jenis Perodua Axia sebelum terjatuh.

“Suspek juga bertindak kasar dan enggan memberi kerjasama dengan polis sebelum dia ditahan untuk siasatan lanjut,” katanya, di sini, hari ini.

Tambah beliau, hasil semakan pihaknya mendapati suspek mempunyai lima rekod jenayah lampau termasuk dikehendaki polis membabitkan kes dadah.

“Suspek yang ditahan itu akan diserahkan kepada polis Brickfields untuk tindakan lanjut,” ujar beliau. – MalaysiaGazette