Hanafi Zulkapli. Foto FIKRI YAZID, 3 APRIL 2021.

KUALA LUMPUR – Dewan Pemuda Pas Malaysia mengecam kenyataan provokatif dan berbaur perkauman pemimpin DAP, Prof Dr P. Ramasamy berhubung kes pengesahan status agama anak yang berlaku di Perlis.

Naib Ketuanya, Hanafi Zulkapli berkata, kenyataan Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang itu jelas memberi gambaran buruk terhadap peranan pihak berkuasa agama Perlis, sedangkan ia dalam tindakan judisiari.

“Perkara ini menjadi polemik apabila pemimpin cauvinis dan ekstrem ini mengambil kesempatan untuk menyalakan api sensitiviti agama dan perkauman.

“Ini adalah fitnah dan tuduhan tidak tepat serta melampau kepada pihak berkuasa agama negeri Perlis.

“Penggunaan terma penculikan dan pemaksaan yang dikaitkan kepada pihak berkuasa agama negeri dalam isu ini, adalah sangat tidak tepat dan berniat jahat,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sebelum ini, ibu tunggal, Loh Siew Hong sedang menunggu tarikh mahkamah Isnin ini untuk mendapatkan semula hak jagaan anak-anaknya melalui permohonan habeas corpus.

Siew Hong telah diberikan hak penjagaan interim terhadap anak-anaknya pada 2019 dan hak penjagaan penuh pada Disember tahun lalu.

Sabtu lalu, Siew Hong telah memfailkan laporan orang hilang meminta polis mendapatkan semula anak-anaknya, yang kali terakhir berada bersama keluarga bekas suaminya, tetapi mendakwa tiada tindakan diambil.

Selepas pencarian itu, Loh akhirnya bertemu semula dengan anak-anaknya di Balai Polis di Perlis pada Ahad, dan memutuskan untuk menempatkan anak-anaknya di pihak neutral iaitu Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), sementara Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur mendengar saman habeas corpusnya, pada Isnin.

Dalam pada itu, Hanafi membidas Ramasamy yang telah bertindak bertentangan dengan diri sendiri apabila beliau mengatakan isu Siew Hong bukan isu agama tetapi isu undang-undang.

“Tetapi dalam kenyataannya, nada dan terma yang digunakan amat jelas bersifat negatif serta berniat buruk kepada pihak berkuasa agama negeri Perlis,” katanya.

Sehubungan itu, Dewan Pemuda Pas Malaysia memberi amaran tegas kepada mana-mana pihak agar tidak mencucuh api yang menyentuh sensitiviti agama Islam dan perkauman dengan kenyataan yang bersifat ekstrem.

“Dalam isu pengislaman anak Siew Hong, Dewan Pemuda Pas Malaysia menasihatkan agar semua pihak menghormati badan kehakiman dan pihak berkuasa undang-undang, serta meletakkan kepercayaan kepada mereka untuk menyelesaikan konflik ini seadilnya,” katanya lagi. – MalaysiaGazette