Datuk Hamidin.

GEORGE TOWN – Kemelut membabitkan Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) adalag di bawah tanggungjawab Pesuruhjaya Sukan (PJS) dan ia tidak membabitkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Demikian tegas Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin ketika diminta mengulas mengenai penyelesaian berhubung kemelut berlarutan melanda PAFA.

“Pihak kami ada menerima surat berhubung kemelut tersebut namun proses kesahihan mana-mana kelab serta mesyuarat agung di bawah PJS.

“Perlu saya tegaskan bahawa proses mengatakan kesahihan itu terletak bawah PJS dan FAM hanya boleh bekerjasama sahaja,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Padang Kopa Universiti Sains Malaysia, di sini, hari ini.

Media sebelum ini melaporkan kemelut kepimpinan bola sepak Perak kian berlarutan apabila Pemangku Presiden PAFA, Datuk Muhammad Yadzan Mohammad mendakwa beliau masih presiden badan induk itu yang sah bagi penggal 2021 hingga 2025.

Beliau berkata, pelantikan itu dibuat dalam Kongres Tahunan PAFA Kali ke-63 yang berlangsung hari ini selain turut mendapat sokongan daripada tujuh ahli gabungan badan induk berkenaan.

“Sepatutnya pelantikan ini dibuat pada tahun lalu namun disebabkan penularan Covif-19, kita terpaksa tangguhkan ke tahun ini dan ia bukan sahaja membabitkan jawatan presiden tetapi keseluruhan jawatankuasa kepimpinan PAFA,” katanya.

Dalam perkembangan lain Hamidin berkata, belum ada sebarang keputusan berhubung isu pemain Penang FC dan Terengganu FC II (TFC II) bergaduh pada aksi pramusim Piala Menteri Besar Terengganu baru-baru ini.

“Ia masih dalam siasatan dan belum ada keputusan,” katanya ringkas.

FAM dikatakan sedang menunggu laporan penuh pegawai pengadil sebelum menjatuhkan hukuman terhadap pemain-pemain Penang FC dan Terengganu FC II (TFC II) yang bergaduh pada aksi pramusim Piala Menteri Besar Terengganu.

Pada aksi di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu itu, perlawanan antara kedua-dua pasukan terpaksa dihentikan selepas pemain skuad Harimau Kumbang, Adib Raop mengalami pendarahan di bahagian hidung selepas ditumbuk oleh pemain TFC II.

Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan FAM, Mohd Firdaus Mohamed berkata, hukuman akan diberikan sewajarnya kepada mereka yang terlibat dalam insiden tersebut tetapi pihaknya perlu mendapatkan laporan penuh terlebih dahulu. – MalaysiaGazette