Tun Dr. Mahathir

KUALA LUMPUR – Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, beliau akan terus ratib nama Datuk Seri Najib Tun Razak termasuk sesiapa sahaja yang cuba merosakkan negara serta menipu rakyat.

Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) itu turut menolak dakwaan bahawa beliau ada dendam peribadi ke atas mantan Perdana Menteri itu.

“Tidak ada dendam peribadi di pihak saya terhadap Najib, tetapi, saya akan terus ratib nama Najib ataupun sesiapa sahaja yang cuba merosakkan negara dan menipu rakyat.

“Perlu saya ingatkan, ketika skandal 1MDB memuncak, adik Najib, Tan Sri Nazir sendiri telah datang menemui saya meminta saya lakukan sesuatu kerana wang berbilion telah hilang dan keadilan belum lagi dicapai terhadap jenayah yang telah dilakukan.

“Nazir menulis panjang lebar mengenai skandal 1MDB dan jenayah yang dilakukan oleh abangnya. Tulisan Nazir disebabkan perasaan malu keluarganya begitu bersalah,” katanya menerusi surat kedua beliau kepada rakyat Johor hari ini.

Menurut Dr. Mahathir, banyak lagi yang ditulis oleh Nazir mendedahkan mengenai skandal Najib secara terperinci.

Bahkan, katanya, surat khabar luar negara menggelar Najib sebagai “Plundering Idiot” atau dalam bahasa Johor dipercaya bermaksud “penyamun tongon”.

Mahkamah Rayuan pula menghukum Najib sebagai “National Embarassment”, orang yang memalukan negara.

Namun, kata mantan Perdana Menteri dua kali itu, Najib masih juga tidak malu dan sedang berusaha untuk mendapat kembali kekuatan politik.

Katanya, Najib percaya dengan memegang kembali kuasa politik, beliau dapat lepas diri daripada hukuman.

“Dia perlu disekat kerana jika dia kembali berkuasa, ini bermakna negara akan dikuasai dan ditadbir oleh seorang kleptokrat dari kluster mahkamah untuk disamun dan dirompak,” katanya.

Dalam surat kedua kepada pengundi Johor itu, Dr. Mahathir memberitahu, surat pertamanya selepas beliau keluar dari Institut Jantung Negara (IJN) baru-baru ini menerima sindiran daripada Najib.

“Ini surat kedua saya kepada rakyat Johor, setelah surat pertama Najib menyindir dan berkata, bila saya mula ratib namanya bermakna saya sudah benar-benar pulih.

“Terima kasih juga kerana dia sempat doakan kesihatan saya.

“Sebenarnya, saya amat malu ‘meratib’ nama Datuk Najib. Dia memalukan negara, bangsa dan agama. Malangnya, dia sendiri tidak malu, malah berpura-pura seolah dia teraniaya termasuk oleh saya,” tulisnya.

Kata beliau, bekas Presiden UMNO itu juga berharap rakyat Malaysia akan percaya dia tidak bersalah dan sebenarnya adalah mangsa penganiayaannya serta musuh-musuh politiknya.

Malah, ada yang terpengaruh dan percaya serta tampil mempertahankannya sehingga sanggup memanggilnya boss dan cium tangannya.

“Perlu saya jelaskan, sebelum berlakunya skandal 1MDB, saya menyokong Datuk Najib, malah Tun Abdullah (Ahmad Badawi) lambat melantiknya sebagai Timbalan Perdana Menteri (pun), saya telah memberi tekanan terhadap Tun Abdullah selepas beliau diangkat sebagai Perdana Menteri.

“Akhirnya Abdullah lantik Najib sebagai Timbalan Perdana Menteri,” katanya.

Kata Dr. Mahathir, selain percaya kepada Najib, beliau juga merasa terhutang budi kepada bapanya, (Allahyarham) Tun Razak kerana telah membantu kerjaya politiknya,

“Malangnya, Najib bukan seperti bapanya. Tun Razak seorang nasionalis dan pejuang bangsa yang bermaruah. Najib pula curi harta negara dengan bantuan Jho Low,” akhiri beliau. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast