Seorang pemandu lori disyaki teman lelaki wanita yang mati dikelar leher di Seri Kembangan berjaya dicekup polis pagi tadi untuk membantu siasatan kes.

SERI KEMBANGAN – Polis menahan seorang lelaki yang disyaki mempunyai kaitan dengan kes seorang seorang wanita yang ditemui mati dalam keadaan lehernya dikelar di Serdang Perdana, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner A Anbalagan berkata, suspek yang merupakan warga tempatan ditahan pada jam 11.30 pagi ini semana dia datang untuk menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang.

“Suspek seorang pemandu lori berusia 33 tahun dan beralamat Taman Muhibbah, Seri Kembangan merupakan teman lelaki kepada si mati kini ditahan untuk membantu melengkapkan siasatan kes bunuh tersebut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN:

Dalam kejadian jam 7 malam semalam, seorang pemilik kedai peralatan rumah dan pejabat ditemui mati dengan lehernya dikelar di Serdang Perdana, Seri Kembangan

Wanita berusia 29 tahun itu ditemui dalam keadaan berlumuran darah di dalam premis perniagaan miliknya.

Menurut Anbalagan, hasil soal siasat ke atas suspek membawa kepada pengakuan bahawa dia terlibat dalam kes pembunuhan itu.

“Soal siasat lanjut polis, suspek mengaku dia adalah teman lelaki mangsa dan motif pembunuhan kekasihnya adalah disebabkan rasa cemburu yang membawa kepada pergaduhan sebelum dikelar di leher yang menyebabkan kematiannya.

“Namun kita masih meneruskan siasatan untuk mendapatkan senjata yang digunakan suspek untuk membunuh mangsa kekasihnya itu.

“Kes sedang disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” ujar beliau. – MalaysiaGazette