Noh menyampaikan bantuan persekolahan kepada salah seorang murid di Johor, yang turut disaksikan Megat Zulkarnain (kanan),

KUALA LUMPUR – Yayasan Bank Rakyat (YBR) memperuntukkan kira-kira RM570,000 untuk membantu murid dan pelajar di Johor yang akan memulakan sesi persekolahan Mac ini.

Bantuan disampaikan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar kepada wakil pimpinan tempatan untuk diagihkan kepada 5,700 golongan sasar di 26 lokasi atau sekolah sekitar Johor.

Menurut Pengerusi YBR, Datuk Megat Zulkarnain Omardin, sumbangan itu membantu golongan B40 dalam menyediakan persiapan sekolah seperti baju, kasut atau beg mengikut kesesuaian masing-masing.

Katanya, cakna dengan situasi masyarakat yang terkesan akibat gelombang Covid-19 dan keadaan ekonomi tidak menentu, bantuan RM100 itu diharapkan dapat melancarkan pembelajaran bagi sesi 2022/2023.

“Bantuan kepada mereka yang layak ini sedikit sebanyak memberi suntikan semangat kepada anak-anak untuk terus menuntut ilmu.

“Ini juga sebagai tanda ikhlas YBR dalam membantu mereka yang memerlukan untuk meneruskan kehidupan,” katanya di Johor semalam.

Turut hadir, wakil pimpinan dan penduduk tempatan, Datuk Nur Jazlan Mohamed, Mohammad Khairi A. Malik; Ketua Bahagian Operasi Menanggung Tugas Pengurus Besar YBR, Syaiful Rizal Abdul Ghani; dan Pengurus Jabatan Komunikasi Korporat YBR, Mohamad Ghazali Zainal Abidin.

Jelas Megat Zulkarnain, seramai 39,397 murid telah menerima manfaat melalui bantuan persekolahan YBR dengan jumlah peruntukan sebanyak RM5.12 juta sejak 2018.

Katanya, bagi tahun 2022, sejumlah RM2.75 juta diperuntukan dalam program bantuan persekolahan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast