Foto: Angkatan Tentera Malaysia

KUALA LUMPUR – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) merancang memperoleh sejumlah 15 trak tiga tan dan 20 kenderaan pacuan empat roda FFR (Fitted for Radio) untuk kegunaan Batalion Malaysia 850-9 (MALBATT 850-9) di Lubnan.

Panglima ATM Jeneral Tan Sri Affendi Buang berkata, perolehan aset baharu itu bertujuan meningkatkan tahap keberkesanan operasi misi Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL).

“Perkara ini sekali gus membina keyakinan warga MALBATT untuk memberikan khidmat yang terbaik sepanjang menjayakan misi UNIFIL ini.

“Selain itu, warga MALBATT diingatkan untuk melihat tatacara pelaksanaan misi UNIFIL serta menilai kebolehupayaan rakyat tempatan dalam memastikan kelangsungan hidup mereka,” katanya dalam ucapan perbarisan sempena lawatan kerja beliau ke MALBATT-9 di Lubnan.

Teks ucapan beliau diedar oleh ATM di sini hari ini. – Bernama