ACP Noor Dellhan Yahaya

KUALA LUMPUR – Polis menahan dua lelaki yang disyaki terlibat dalam kes pergaduhan melibatkan beberapa individu di PPR Seri Alam 2 di sini semalam.

Difahamkan dalam kejadian yang berlaku kira-kira pukul 2 pagi itu, sekumpulan lelaki memukul tiga individu menggunakan senjata seperti parang, cota serta kayu dipercayai akibat perselisihan mengenai teman wanita.

Menurut Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya, pihaknya telah mengesan sebuah hantaran yang dimuat naik oleh pengguna Twitter Theekhey.Amir@TheHulkey memaklumkan seorang pekerjanya terlibat dalam kes pergaduhan.

“Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi kemudiannya mengesan individu yang terlibat dan menahan dua individu berusia lingkungan 20 hingga 24 tahun bagi membantu siasatan.

“Tangkapan telah direman selama tiga hari bermula hari ini sehingga Khamis untuk disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Seorang pengguna Twitter yang berkongsi mengenai kejadian pergaduhan melibatkan beberapa individu di PPR Seri Alam 2 semalam.

Sehubungan itu,Noor Dellhan memberi amaran keras kepada orang ramai supaya tidak terlibat dengan apa-apa kesalahan yang melanggar undang-undang.

Tambah beliau, sekiranya orang ramai mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta untuk menyalurkannya dengan menghubungi IPD Dang Wangi di talian 03-26002222 atau Hotline Polis Kuala Lumpur (03-21159999) atau mana-mana balai berhampiran. – MalaysiaGazette