Antara barangan kecantikan yang digunakan kepada pelanggan semasa operasi menyerbu pusat kecantikan dan rawatan pergigian yang dijalankan oleh warga asing tidak bertauliah di Southville City, Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 21 FEBRUARI 2022.

KUALA LUMPUR – Sebanyak empat pusat kecantikan yang menawarkan perkhidmatan rawatan estetik dengan menggunakan peralatan perubatan dan ubat-ubatan berjadual digempur pihak berkuasa semalam menerusi serbuan berasingan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, serbuan itu dijalankan di dua premis di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan masing-masing satu premis di Selangor dan Pulau Pinang.

Menurut beliau, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melalui Cawangan Kawalan Amalan Perubatan Swasta (CKAPS), Bahagian Amalan Perubatan bertindak berdasarkan maklumat yang disalurkan oleh Jabatan Imigresen Malaysia.

Katanya, aktiviti penguatkuasaan itu turut disertai CKAPS Jabatan Kesihatan Kuala Lumpur dan Putrajaya, Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (CKAPS Selangor), Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (CKAPS Pulau Pinang) dan Jabatan Kesihatan Negeri, Negeri Sembilan (CKAPS Negeri Sembilan).

“Ketika serbuan dilakukan, KKM telah menemui beberapa peralatan perubatan serta ubat-ubat yang disyaki digunakan dalam rawatan estetik yang hanya boleh digunakan oleh seorang pengamal perubatan yang berdaftar dengan Majlis Perubatan Malaysia.

“Peralatan pergigian yang disyaki digunakan untuk tujuan rawatan turut ditemui di premis-premis berkenaan.

“Siasatan awal KKM mendapati premis-premis itu menyediakan suatu rawatan estetik yang hanya boleh disediakan di fasiliti-fasiliti kesihatan yang berdaftar atau berlesen dengan KKM dan dijalankan oleh pengamal perubatan yang berkelayakan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, Noor Hisham berkata, orang awam yang berhasrat untuk mendapatkan rawatan estetik perlu mendapatkan rawatan di Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta (KPJKS) yang berdaftar atau berlesen bawah Akta 586 melalui khidmat pengamal perubatan yang mempunyai Letter of Credentialing and Previleging (LCP) bagi memastikan perkhidmatan jagaan kesihatan yang diterima adalah selamat dan berkualiti.

Katanya, kes disiasat bawah Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 [Akta 586] kerana disyaki menyediakan sebuah KPJKS yang tidak berdaftar atau berlesen selaras dengan ketetapan Seksyen 3 dan/atau Seksyen 4, Akta 586 dan boleh disabitkan kesalahan bawah Seksyen 5 akta sama.

“Mana-mana orang yang didapati melakukan kesalahan di bawah seksyen ini boleh didenda tidak melebihi tiga ratus ribu ringgit (RM300,000) atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi enam (6) tahun atau kedua-duanya.

“Manakala, bagi suatu kesalahan yang dilakukan oleh suatu pertubuhan perbadanan, perkongsian atau pertubuhan boleh didenda sehingga lima ratus ribu ringgit (RM500,000),” ujarnya. – MalaysiaGazette