PUTRAJAYA – Majlis Pemulihan Negara (MPN) mengulangi pendiriannya agar kerajaan mempercepatkan proses pembukaan pintu sempadan negara bagi merancakkan semula aktiviti ekonomi khususnya pelancongan.
Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kelewatan membuka pintu sempadan Malaysia hanya merugikan negara.
“Lambat sehari, kos bagi negara adalah amat besar terpaksa ditanggung, cepat buka untung kepada Malaysia adalah amat banyak.
“Negara-negara lain sebagaimana kita tahu di Australia sudah buka hari ini. Australia ke belakang daripada Malaysia dari segi proses vaksinasi, mereka masih lagi belum selesai tapi kita sudah selesai.
“Kita antara 10 negara teratas yang berjaya menguruskan soal itu (vaksinasi) tapi bila proses nak buka sempadan dan pemulihan, kita agak lambat.
“Kalau terlalu lambat kesannya tidak baik bagi kita, merugikan negara,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Terdahulu Muhyiddin mempengerusikan mesyuarat MPN hampir tiga jam di Kementerian Kewangan Malaysia di sini.
Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, memandangkan Kementerian Kesihatan (KKM) masih mampu mengawal pandemik Covid-19 meskipun berlaku peningkatan lebih 20,000 kes sehari namun pembukaan sempadan negara tidak wajar ditangguhkan.
“Apa pun situasi ia boleh diuruskan, apa jadi masalah, orang luar nak datang ke negara kita biasanya kena buat PCR dulu, masuk okaylah, dia belanja lepas itu dia balik.
“Saya tak nampak kenapa kita harus mengambil langkah yang agak lambat,” katanya.
Sementara itu, kerajaan wajar membuat keputusan yang komprehensif sebelum membuka pintu sempadan negara dan tidak terhad kepada Laluan Perjalanan Vaksinasi (VTL) semata-mata ketika ini.
“Bila dia buat keputusan itu, dia kira semua sama ada darat, laut dan udara. Kalau sudah buka sempadan, tapi ada sekatan, ujian tak henti-henti atau dihadkan penerbangan dan ada VTL.
“Dulu mana ada VTL, apakah perlu nak ada VTL lagi kalau sudah buka sempadan, siapa nak masuk ikut peraturan SOP masuklah, itu harus dibuat begitu,” katanya.
Beliau berharap KKM khususnya mengambil kira aspek itu sebelum mengeluarkan prosedur operasi standard (SOP) baharu apabila pintu sempadan negara dibuka nanti.
“Jangan lepas satu…ada masalah, kita tengok baru selesai macam isu kuarantin, isu ujian, ini biasa berbangkit. Kalau dia masuk tapi diuji macam di Langkawi, saya difahamkan tiap-tiap hari kena uji.
“Saya pun tak nak pergi sana (Langkawi) kalau saya orang asing….tiap-tiap hari kena uji, kena bayar, itu jadi masalah besar,” katanya lagi. – MalaysiaGazette