M Saravanan melancarkan Kempen Mencarum Usahawan Tekun di Hotel Renaissance dekat Permas Jaya hari ini.

JOHOR BAHRU – Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M. Saravanan berkata, partinya akan kekal bertanding di empat kerusi tradisi mereka dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Perkara itu itu akan disampaikan kepada Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor, Datuk Seri Hasni Mohammad dalam satu pertemuan yang dijangka esok.

“Perjumpaan ini nanti sudah tentu untuk kita memuktamadkan pembahagian kerusi. Presiden (MIC) telah maklumkan untuk kita kekal bertanding di kerusi yang kita tandingi sebelum ini.

“Kita di peringkat BN memang mengamalkan perkongsian kuasa dan kita akan membuat pilihan terbaik untuk parti dan negara,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran Kempen Mencarum Usahawan Tekun di Hotel Renaissance dekat Permas Jaya hari ini.

Turut hadir Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar.

Diminta mengulas mengenai permintaan MIC Bahagian Kulai yang mahu bertanding di DUN Bukit Batu, Saravanan berkata, sudah menjadi kebiasaan menjelang pilihan raya alam ada pihak menuntut kerusi.

Menurut Saravanan, mana-mana pihak boleh memohon untuk bertanding di kerusi yang diingini.

“Ini masa pilihan raya semua orang nak jadi calon, orang akan minta sana sini, lepas itu akhirnya kita akan akur keputusan pucuk pimpinan BN. Itulah kelebihan BN.

“Cuma kita nyatakan pendirian kita, kita tidak menghalang pucuk pimpinan BN untuk memberi kerusi kepada Friends of BN, asal jangan ambil kerusi kita dan orang lain, itu akan mencalarkan imej kita,” katanya.

Pada 30 Januari lalu, Presiden Parti Makkal Sakti Malaysia (Makkal Sakti), Datuk Seri R. S. Thanenthiran dilaporkan berkata, pihaknya berharap akan diberikan peluang untuk bertanding dalam PRN Johor.

Jelasnya, ini kerana Makkal Sakti selaku Friends of BN sudah lama mahu bertanding pilhan raya selain atas faktor kesetiaan mereka terhadap BN sejak lebih 14 tahun lalu.- MalaysiaGazette