Dr Noor Azmi (kanan) menyantuni Maryam Hassan, 7, sebaik dia selesai menerima suntikan vaksin Covid-19 di PPV Kids SK Saujana Indah, Pulau Pinang hari ini.

LNIBONG TEBAL – Kelantan, Terengganu dan Sabah direkodkan berada dalam kelompok negeri terendah membabitkan pengambilan vaksin Covid-19 menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Kanak-Kanak (PICKids).

Timbalan Menteri Kesihatan 1, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali berkata, ketiga-tiga negeri itu mencatatkan pengambilan vaksin di bawah 10 peratus.

Dr Noor Azmi.

“Kita mahu tingkatkan lagi pengambilan vaksin dalam kalangan kanak-kanak di tiga negeri ini dan pelbagai usaha dilakukan untuk memberi penerangan termasuk di sekolah,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan di Pusat Pemberian Vaksin PICKids di Sekolah Kebangsaan Saujana Indah di sini hari ini.

Kehadiran watak adiwira Predator memeriahkan suasana PPV Kids di SK Saujana Indah, Pulau Pinang hari ini.

Mengulas lanjut, Dr. Noor Azmi berkata, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) mencatatkan pengambilan vaksin tertinggi iaitu sebanyak 50.7 peratus kemudian diikuti dengan Sekolah Rendah Agama (21.1 %), Sekolah Kebangsaan (11.4 %) serta Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (9.4 %).

“Secara umum pengambilan vaksin di SJKC direkodkan antara 31 hingga 74 peratus berbanding SK iaitu dalam lingkungan 5.9 hingg 21.9 peratus.

“Bagaimanapun situasi itu berbeza di Sarawak yang mana SJKC dan SK mencatatkan peratusan hampir sama iaitu 32.4 peratus di semua SK negeri ini manakala 34.3 bagi SJKC.

“Kita lakukan pelbagai usaha termasuk memberi penerangan dengan kerjasama pelbagai agensi bagi memastikan pengambilan vaksin dalam kalangan kanak-kanak di SK berjalan lancar,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Dr. Noor Azmi menegaskan secara keseluruhan setakat semalam, Melaka antara lima negeri mencatatkan rekod pengambilan vaksin tertinggi menerusi PICKids iaitu sebanyak 28.9 peratus.

Tangga kedua adalah Sarawak iaitu sebanyak 27.2 peratus diikuti dengan Perak (22.6%), Pulau Pinang (21.3%) dan Lembah Klang (20.4%).

MalaysiaGazette semalam melaporkan lebih satu juta atau 28 peratus kanak-kanak berusia lima tahun hingga 11 tahun di negara ini sudah berdaftar untuk mendapatkan vaksin Covid-19.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, seramai 1,022,966 kanak-kanak akan mendapatkan pelalian berkenaan menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Kanak-Kanak (PICKids) yang diperkenalkan sejak 3 Februari lalu. – MalaysiaGazette