Datuk Wira Roslan Ab Rahman.

KUALA LUMPUR – Tenaga Nasional Berhad (TNB) merancang melabur sekitar RM20 bilion sebagai perbelanjaan modal (capex) dengan kelulusan kerajaan dalam tempoh tiga tahun akan datang.

Ketua Pegawai Kawalselia dan Pengurusan Pemegang Taruh TNB, Datuk Roslan Ab Rahman berkata, cadangan itu demi mengekalkan keselamatan rangkaian dan sistem yang berdaya tahan, memenuhi permintaan pelanggan dan membolehkan TNB menyokong inisiatif peralihan tenaga kerajaan dalam tempoh berkenaan.

Menurutnya, langkah kerajaan mengekalkan kaedah Kawal Selia Berasaskan Insentif (IBR) dan Pelepasan Kos Tidak Seimbang (ICPT) membolehkan pelaburan yang secukupnya dibuat dalam sistem pembekalan elektrik bagi Tempoh Kawal Selia (RP3) baharu bermula 2022 hingga 2024.

Ia bagi menjamin bekalan berdaya harap berterusan dinikmati rakyat, tambah beliau.

IBR dalam sektor tenaga hampir lapan tahun lalu sebagai sebahagian Pembaharuan Industri Bekalan Elektrik Malaysia (MESI) menjadikan rangka kerja elektrik negara kekal fleksibel dan mapan, sekali gus berupaya mendepani cabaran global dan ekosistem industri elektrik yang sentiasa berkembang.

Peraturan ini adalah mekanisme bagi penetapan tarif elektrik dengan insentif untuk menambah baik kecekapan TNB dan memberikan lagi ketelusan kepada pelanggan.

Di Malaysia, pelaksanaan IBR termasuk komponen fleksibel atau anjal menerusi ICPT yang membolehkan pengeluar atau penjana tenaga elektrik menggunapakai tarif sebagai tindak balas terhadap harga minyak global.

Selain itu ia menjadikan pengeluaran tenaga itu jauh lebih berdaya tahan dari segi ekonomi terhadap harga minyak yang tidak menentu.

Pelaksanaan mekanisme ICPT membolehkan TNB menterjemahkan perubahan dalam kos bahan api dan penjanaan kepada tarif elektrik pengguna setiap enam bulan.

Pada akhir bulan lalu, kerajaan bersetuju mengekalkan kadar tarif elektrik semasa bagi pengguna domestik di Semenanjung Malaysia untuk tempoh kawal selia bermula pada 1 Februari 2022 hingga 31 Disember 2024 di bawah mekanisme IBR.

Pengekalan itu diputuskan walaupun kos bahan api dan kos penjanaan lain meningkat sebanyak RM1.67 bilion antara 1 Julai hingga 31 Disember tahun lalu yang berpunca daripada lonjakan harga arang batu.

Ketika itu, harga komoditi itu mencecah AS$200 bagi setiap tan.

Suruhanjaya Tenaga berkata, kerajaan menggunakan peruntukan daripada dana Kumpulan Wang Industri Elektrik sebanyak RM715 juta untuk menanggung kos tersebut. – MalaysiaGazette