Dr. Noor Hisham Abdullah

KUALA LUMPUR – Kes harian Covid-19 kembali meningkat dengan 27,179 kes baharu dicatatkan setakat semalam berbanding 25,099 kelmarin.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, jumlah kumulatif kes Covid-19 kini mencecah 3,273,958 kes.

“Sebanyak 27,059 yang dilaporkan membabitkan kes tempatan iaitu 26,381 kes warganegara dan 678 kes bukan warganegara, manakala 120 kes pula merupakan kes import (64 warganegara dan 56 bukan warganegara,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Menurut Dr. Noor Hisham, daripada jumlah kes harian yang dilaporkan semalam, 27,007 kes (99.37 peratus) terdiriĀ  kategori satu dan dua sementara 172 kes atau 0.63 peratus kategori tiga, empat dan lima.

Jelas beliau, berdasarkan pecahan, kategori satu mencatatkan sebanyak 7,792 kes, kategori dua (19,215 kes), kategori tiga (102 kes), kategori empat (43 kes) dan kategori lima 27 kes.

“Daripada 172 kes kategori tiga, empat dan lima yang baharu, sebanyak 51 kes adalah tidak divaksinasi atau belum lengkap vaksinasi manakala 91 kes telah menerima dua dos vaksin Covid-19 tetapi belum menerima dos penggalak.

“30 kes pula membabitkan individu yang telah menerima dos penggalak, 67 kes individu berusia 60 tahun ke atas, 93 kes individu yang mempunyai komorbid dan enam kes melibatkan ibu mengandung,” ujarnya.

Dalam pada itu, Dr. Noor Hisham berkata, sebanyak 286 kes sedang menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi manakala 180 kes memerlukan bantuan pernafasan.

Sebanyak sembilan kluster baharu direkodkan dan kluster akftif pula berjumlah 505 kluster dengan jumlah keseluruhan sebanyak 6,732 kluster. – MalaysiaGazette