Seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara 18 bulan oleh Mahkamah Majistret Melaka di Ayer Keroh hari ini selepas mengaku salah atas pertuduhan mencuri kereta bersama tunang dan anaknya pada Januari lalu.

MELAKA – Seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara 18 bulan oleh Mahkamah Majistret Melaka di Ayer Keroh hari ini selepas mengaku salah atas pertuduhan mencuri kereta bersama tunang dan anaknya pada Januari lalu.

Hakim Mazana Sinin menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohd Jerryzal Mohd Jefri, 35, selepas tertuduh mengaku bersalah sejurus pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Tunangnya, Nurul Arzira Idris, 27, serta anak lelaki tertuduh berusia 16 tahun itu bagaimanapun membuat pengakuan tidak bersalah.

Mengikut pertuduhan, tertuduh secara bersama-sama didapati dengan curang telah mencuri sebuah kereta jenis Proton Saga milik penama Nik Zahidi Zainal, 39 di di Pejabat Persatuan Anggota Kemas, Ayer Keroh dalam daerah Melaka Tengah kira-kira jam 11 pagi 18 Januari lalu.

Bagi kesalahan itu tertuduh didakwa mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara tidak kurang setahun dan tidak lebih tujuh tahun dan boleh dikenakan denda.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam dalam rayuannya meminta hukuman ringan dengan alasan baru bekerja sebagai pencuci kereta selain menanggung empat orang anak tunangnya yang masih kecil.

Timbalan Pendakwa Raya, Siti Bahiyah Amir Haidi bagaimanapun memohon hukuman setimpal kerana tertuduh turut mempunyai tiga rekod jenayah lampau membabitkan kes sama.

Beliau turut mencadangkan jaminan sebanyak RM7,000 dikenakan terhadap tertuduh wanita dan remaja tersebut.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara selama 18 bulan terhadap tertuduh lelaki dan membenarkan jaminan sebanyak RM3,000 terhadap tunangnya, manakala anak RM2,000.

Sementara itu, dalam prosiding berasingan di Mahkamah Sesyen, ketiga-tiga tertuduh mengaku tidak bersalah atas pertuduhan melakukan rompakan berkumpulan dengan bersenjatakan sebilah pisau terhadap seorang wanita warga emas, Tuan Pah Megat Yaman yang berusia 69 tahun.

Dalam pertuduhan itu, mereka didakwa telah mengambil harta milik mangsa iaitu sebuah kereta jenis Proton Saga, barang kemas berupa dua bentuk cincin, seutas gelang dan rantai serta anting-anting dengan anggaran nilai RM20,000 pada masa, tarikh dan lokasi sama.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan dikenakan sebat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 397 Kanun Keseksaan.

Ketiga-tiga mereka membuat pengakuan tidak bersalah di hadapan Hakim Nariman Badruddin dan tertuduh lelaki dibenarkan ikat jamin sebanyak RM15,000 manakala tunang dan anaknya masing-masing RM7,000 dan RM3,000.

Mahkamah kemudian menetapkan 23 Mac depan sebagai sebutan semula kedua-dua kes.- MalaysiaGazette