Penyelewengan minyak diesel bersubsidi berjaya ditumpaskan menerusi dua siri serbuan sebuah stesen minyak dan tapak pembinaan di Dengkil dekat sini baru-baru ini.

KUALA LUMPUR – Penyelewengan minyak diesel bersubsidi berjaya ditumpaskan menerusi dua siri serbuan sebuah stesen minyak dan tapak pembinaan di Dengkil dekat sini baru-baru ini.

Ketika serbuan yang dilakukan oleh pasukan penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), dua lelaki tempatan berumur 35 tahun mengaku menjadi pengurus dan penyelia tapak pembinaan ditahan untuk siasatan.

Pengarah Penguat Kuasa kementerian berkenaan, Azman Adam berkata,  sebanyak 64,400 liter minyak diesel daripada dua buah tangki bawah tanah di stesen minyak berkenaan dan sebuah lagi di kawasan tapak pembinaan.

Lori berkapasiti empat tan saluran paip getah, sebuah compressor, satu set dekoder CCTV dan invois/resit jualan berserta dokumen perniagaan disita dalam serbuan berkenaan untuk siasatan lanjut.

Nilai kesemua rampasan dianggarkan sebanyak RM178, 347.85.

“Pemeriksaan lanjut mendapati, minyak diesel yang diisi ke dalam tangki yang telah diubahsuai pada lori berkenaan disyaki disambungkan disalurkan terus ke sebuah tangki di kawasan tapak pembinaan terbabit melalui saluran separa kekal bawah tanah yang menghubungkan antara tangki lori berkenaan kepada sebuah tangki lain yang terletak di dalam kawasan tapak pembinaan terbabit,” kata KPDNHEP menerusi kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, KPDNHEP berkata, lesen berkaitan barang kawalan yang dimiliki syarikat minyak berkenaan digantung sementara.

Selain itu, syarikat ini juga akan disiasat di bawah Seksyen 4 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2011) (Akta 613) iaitu kesalahan pengubahan wang haram bagi tujuan mengesan, membeku, menyita serta sehingga ke peringkat perlucutan hak ke atas apa-apa hasil pendapatan atau harta yang dijana daripada aktiviti haram penyelewengan barang kawalan bersubsidi terutamanya berkaitan minyak diesel.

Susulan daripada serbuan berkenaan, kementerian berkenaan juga telah membuka kertas siasatan.

Selain itu, siasatan lanjut di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 turut dilakukan bagi mengenal pasti rantaian pengedaran minyak diesel tersebut bermula dari stesen minyak ke tapak pembinaan seterusnya ke peringkat pembeli.

Menurut KPDNHEP, jika sabit kesalahan bagi orang perseorangan boleh didenda tidak lebih RM1 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Manakala bagi syarikat berhadapan dengan boleh didenda tidak melebihi RM3 juta.- MalaysiaGazette