Rampasan syabu bernilai hampir setengah juta ringgit daripada lima suspek tempatan termasuk dua wanita yang mendalangi sindiket pengedaran dadah bermarkas di Apartmen di Ibu negara ditumpaskan semalam.Gambar Ihsan IPKKL

KUALA LUMPUR – Lima individu yang mendalangi sindiket pengedaran dadah untuk pasaran Lembah Klang ditahan dalam satu serbuan kelmarin.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kuala Lumpur, Superintendan Mohd Shokri Abdullah berkata, bertindak di atas maklumat risikan, pada 22 Februari 2022 jam 2.10 petang, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik IPK Kuala Lumpur (JSJN IPK KL) telah menjalankan satu operasi berkaitan pengedaran dadah jenis syabu.

OPS COLIN itu dijalankan di sebuah apartmen di Jalan Sultan Ismail.

“Kita berjaya menangkap seramai tiga lelaki dan dua perempuan tempatan berumur di antara 27 hingga 54 tahun,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau, tangkapan pertama dilakukan ke atas wanita  tempatan di luar apartmen tersebut sebelum telah membawa pihak JSJN IPK ke sebuah unit rumah di apartmen yang sama.

Menurutnya, hasil serbuan yang dijalankan oleh pihak polis itu  telah berjaya menangkap tiga lelaki dan seorang perempuan tempatan.

Mohd Shokri menambahh, polis berjaya memmbuat rampasan dadah jenis syabu seberat 11.6 kg dan 10 biji pil kuda yang dianggarkan bernilai RM418,061 serta wang tunai berjumlah  RM722.00.

“Siasatan mendapati semua suspek yang tidak mempunyai pekerjaan yang tetap dan telah beberapa kali ditangkap oleh pihak polis berkaitan kes narkotik.

“Walaupun telah beberapa kali ditangkap, mereka semua tidak pernah serik dengan hukuman yang pernah dikenakan.

“Ketiga-tiga suspek lelaki masih bujang manakala kedua-dua suspek perempuan telah berkahwin dan memiliki anak,” ujar beliau.

Katanya, dadah jenis syabu yang dirampas daripada mereka dipercayai untuk pasaran sekitar Lembah Klang.

Ujian saringan air kencing dan turut mendapati kelima-lima suspek positif dadah jenis methamphetamine.

Kesemua suspek telah direman di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah selama tujuh hari sehingga 1 Mac ini untuk membantu siasatan lanjut.

Kes sedang disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman gantung sampai mati jika disabitkan kesalahan.

Jumlah keseluruhan rampasan dadah tersebut mampu menampung penggunaan seramai 23,235 orang pengguna  dadah. – MalaysiaGazette