Stadium Kuala Lumpur, Cheras.

KUALA LUMPUR – Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) hari ini mengumumkan Kuala Lumpur telah dipilih sebagai tuan rumah perlawanan peringkat kumpulan untuk saingan Piala AFC 2022 Zon Asia Tenggara.

Malaysia yang diwakili oleh juara Piala Malaysia 2021, Kuala Lumpur City (KL City) akan menjadi tuan rumah kumpulan H yang melibatkan kelab dari Singapura, Tampines Rovers, PSM Makassar (Indonesia) dan satu lagi pasukan dari Myanmar yang akan ditentukan kemudian.

Satu lagi wakil negara, Kedah Darul Aman (KDA) yang diundi dalam kumpulan G akan beraksi di Denpasar, Indonesia dimana Bali United akan menjadi tuan rumah.

Turut berada dalam kumpulan yang sama ialah kelab dari Filipina, Kaya FC Iloilo dan pasukan daripada slot Play-Off.

Pertandingan ini akan dijalankan secara venue berpusat bagi membendung penularan wabak Covid-19 yang semakin meningkat di beberapa negara.

Semua perlawanan peringkat kumpulan Zon Asia Tenggara akan berlangsung pada 24 Jun hingga 30 Jun depan.

Antara bandar lain di Asia yang turut dipilih sebagai rumah dalam kumpulan masing-masing ialah Muscat, Kuwait City, Manama, Kolkata, Dushanbe, Bishkek dan Tainan, Chinese Taipei. Manakala tuan rumah untuk kumpulan I akan ditentukan kemudian.

Mereka dipilih menjadi tuan rumah kerana memenuhi beberapa kriteria yang ditetapkan oleh AFC dari segi keperluan logistik, keselamatan dan fasiliti perubatan untuk ujian pengesanan Covid-19 kepada semua pemain dan pegawai yang kosnya ditanggung oleh badan induk itu. – MalaysiaGazette