Alexander Nanta Linggi

KUCHING – Peniaga diberi amaran untuk tidak menjadikan perang yang meletus di antara Rusia dan Ukraine sejak semalam, sebagai alasan untuk menaikkan harga barang atau perkhidmatan mereka dengan sewenang-wenangnya.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata walaupun dari segi prinsip ekonomi, insiden peperangan boleh menyebabkan harga barangan dan perkhidmatan naik, kesan kenaikan ini tidak semestinya berlaku mendadak seluruh dunia.

“Saya beri amaran di sini, kita pada bila-bila masa sahaja boleh menggunakan Akta Pencatutan 2011. Ada peperangankah, tak ada peperangankah, kita gunakan Akta ini kerana sesiapa sahaja yang berniaga mestilah beretika. Kalau (harga) naik itu munasabah, kita okay,” katanya.

Bercakap kepada pemberita selepas membuat pemeriksaan jualan kit RTK COVID-19 dan logam berharga di sini, beliau berkata dari pengalaman lepas memang diakui insiden peperangan melibatkan negara pengeluar minyak seperti Rusia dan Ukraine, boleh membawa kepada kenaikan harga barangan dan perkhidmatan.

“Tapi janganlah peniaga ambil kesempatan. Perang baru sahaja bermula dan mereka (peniaga) sudah pun menaikkan harga barang atas alasan harga minyak naik. Itu kita tegurlah dan kita akan ambil tindakan,” katanya.

Nanta berkata Malaysia tidak terkecuali dari merasai tempias dari konflik Rusia-Ukraine ini, yang menjadi pembekal makanan ayam ke Malaysia selain Argentina dan Brazil.

Sebagai langkah awal, beliau berkata kerajaan telah mengumumkan peruntukan sebanyak RM500 juta sebagai langkah untuk mengawal harga runcit ayam standard dan super, selain telur ayam gred A, B dan C.

Menyentuh isu bekalan kit RTK COVID-19, beliau berkata sejumlah 8,084 premis runcit telah diberi kelulusan kebenaran untuk menjual kit yang diiktiraf Pihak Berkuasa Peranti Perubatan Malaysia, bagi memudahkannya diperolehi orang ramai.

Menurutnya lapan pengilang tempatan telah mendapat kebenaran bersyarat untuk mengeluarkan sebanyak 4.306 juta unit kit berkenaan, selain mengimport 2.34 juta unit lagi dari tujuh buah negara bagi memastikan bekalannya mencukupi.- BERNAMA