Reezal Merican Naina Merican meninjau lif di PPR Masai dan Kempas Permai hari ini.

PASIR GUDANG – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) tidak akan berkompromi dengan pemaju rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) terbengkalai yang memberi alasan berdepan faktor kekangan pusingan modal.

Menterinya, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, ini kerana kerajaan perlu mengutamakan keperluan untuk memiliki kediaman di kalangan rakyat yang berpendapatan rendah (B40).

Justeru menurut beliau, KPKT akan terus memberi fokus kepada matlamat menyediakan perumahan selesa untuk Keluarga Malaysia yang menjadi agenda utama dalam merealisasikan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

“KPKT akan segera mengambil tindakan yang wajar secara pantas dengan mengambil kira tatacara pentadbiran kontrak.

“Ia agar semuanya teratur dan melindungi kepentingan kerajaan memandangkan penyelesaiannya melibatkan perkara-perkara yang kontraktual,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas melawat PPR Masai dan Kempas Permai di sini hari ini.

Turut hadir pada lawatan itu, Ahli Parlimen Pasir Gudang, Datuk Normala Abd Samad.

Mengulas lanjut, Reezal Merican memberi jaminan semua projek sakit PPR di negara ini perlu dimulakan semula selewat-lewatnya pada Jun ini.

Jelas beliau, ini bagi membolehkan projek tersebut dapat disiapkan dalam tempoh setahun akan datang.

“Memangkan ada pertambahan kos apabila projek akan dimulakan semula kerana pelantikan pemaju baharu akan melibatkan sebut harga baharu.

“Ini kerana mengambil kira harga barang yang naik selain bahan tertentu yang tidak terdapat sini dan kos logistik,” katanya. – MalaysiaGazette