Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin bersama Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah melawat tapak pameran ketika hadir ke majlis perasmian dan lawatan Kompleks Magnetic Resonance Imaging (MRI) dan Projek Naik Taraf Bekalan Gas Perubatan Pusat Kawalan Kusta Negara ketika di Hospital Sungai Buloh, Selangor. Foto MOHD ADZLAN, 25 FEBRUARI 2022.

PETALING JAYA – Menyelesaikan isu kekurangan jururawat di hospital-hospital awam menjadi keutamaan kepada Kementerian Kesihatan buat masa ini.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata, KKM menerima maklum balas mengenai kekurangan itu daripada beberapa hospital termasuk Hospital Sungai Buloh.

”Sekarang kita ada kekurangan jururawat pula. Ini yang saya dengar daripada beberapa hospital.

“Jadi ia adalah agenda saya pada masa ini,” katanya ketika menyampaikan ucapan perasmian Kompleks Magnetic Resonance Imaging (MRI) dan Projek Naik Taraf Bekalan Gas Perubatan Pusat Kawalan Kusta Negara (PKKN) di Hospital Sungai Buloh, hari ini.

Bagaimanapun, beliau tidak mendedahkan jumlah jururawat yang diperlukan setakat ini.

Namun, beliau memberi jaminan akan menganalisis isu kekurangan jururawat secara keseluruhan termasuk perbelanjaanya.

Jelas Khairy, sebelum analisis dibuat dalam menyelesaikan isu kekurangan jururawat, perbelanjaan bagi sistem kesihatan awam untuk jangka masa yang panjang antara yang perlu dikaji terlebih dahulu.

”Kita kena lihat perbelanjaan kesihatan awam untuk jangka masa panjang. Ini kerana perbelanjaan kesihatan adalah dua peratus daripada empat peratus Keluaran Dalam Negara Kasar,” katanya.

Untuk rekod terbaharu, sebanyak 8,686 jawatan tetap tambahan membabitkan pegawai perubatan, pegawai pergigian dan pegawai farmasi akan diwujudkan di Kementerian Kesihatan (KKM) sepanjang tempoh 2022 sehingga 2025.

Daripada jumlah itu, sebanyak 4,186 jawatan tetap tambahan akan diwujudkan di KKM pada tahun ini bagi tujuan melantik seramai 3,586 pegawai perubatan, 300 pegawai pergigian dan 300 pegawai farmasi.

Selain itu sekurang-kurangnya 1,500 jawatan tetap pegawai perubatan, pegawai pergigian dan pegawai farmasi juga akan diwujudkan di KKM pada setiap tahun mulai tahun 2023 hingga 2025.- MalaysiaGazette