Singapura
Gambar hiasan

PUTRAJAYA – Pengumuman mengenai pembukaan semula sempadan negara akan dibuat oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata kerajaan sudah mempunyai tarikh yang sesuai untuk pembukaan semula sempadan negara.

“Perdana Menteri akan mengumumkan tarikh pembukaan sempadan negara, kita sudah mempunyai tarikh yang sesuai dan kita menyerahkannya kepada Perdana Menteri untuk membuat pengumuman,” katanya pada sidang media perkembangan COVID-19 di sini hari ini.

Selasa lepas, Pengerusi Majlis Pemulihan Negara Tan Sri Muhyiddin Yassin dilapor berkata ketika ini, Kementerian Kesihatan (KKM) sedang menyedia dan memperhalusi prosedur operasi standard berhubung pembukaan semula sempadan negara.

Beliau juga berkata KKM menerima cadangan daripada perkhidmatan farmasi untuk memberi sumbangan vaksin COVID-19 yang jika tidak digunakan akan luput untuk beberapa bulan akan datang.

Mengulas laporan portal berita yang menyebut Malaysia mungkin membuang hampir setengah juta dos vaksin COVID-19 jenis AstraZeneca-Oxford yang tarikh luputnya Mei ini, Khairy mengulangi kenyataan beliau bahawa KKM tidak pernah berbuat demikian kerana semua vaksin akan digunakan sebelum tarikh luput.

“Saya melalui Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF) mendapat laporan setiap minggu berkaitan stok vaksin berkenaan termasuk tarikh luput bagi setiap jenama vaksin yang ada,” katanya.

Beliau juga berkata jika perlu, KKM akan menyumbangkannya kepada negara luar seperti yang pernah dilakukan sebelum ini iaitu kepada Bangladesh dan Laos.

Katanya beliau akan memuktamadkan negara mana yang akan menerima sumbangan itu bersama dengan Wisma Putra.

— BERNAMA