Pengarah Komunikasi Barisan Nasional (BN) , Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah hadir pada Majlis Minum Petang dan Beramah Mesra bersama para media sempena Pilihan Raya Negeri Johor 2022 di Hotel Fives, Johor Bahru. Foto AMIRUL SHAUFIQ 25 FEBRUARI 2022.

JOHOR BAHRU – Platform media sosial Komunikasi Barisan Nasional (BN) atau BN Comms akan beroperasi selama 24 jam setiap hari sepanjang kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang akan bermula esok.

Pengarah Komunikasi BN, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah berkata, ini kerana BN Comms mahu memastikan maklumat parti dan isu-isu yang muncul perlu dijawab dengan tepat dan teliti kepada rakyat di negeri ini.

Menurut beliau, memandangkan isu dan maklumat yang diperlukan pengamal media tidak menentu masa dan keadaan, BN Comms perlu meningkatkan tahap kesiapsiagaannya sepanjang kempen berlangsung.

“Kita sangat faham dengan situasi dan landskap politik yang begitu berbeza dan SOP (prosedur operasi standard) yang ditetapkan pihak berkuasa, pendekatan dan kaedah baharu telah dibuat oleh parti.

“Maka menjadi tanggungjawab Komunikasi Barisan Nasional (BN Comms) untuk memastikan apa juga maklumat parti dan isu-isu yang berlaku perlu dijawab dengan tepat dan teliti kepada rakyat di Johor.

“Oleh kerana kita tahu bahawa isu dan maklumat ia tidak tentu masa dan keadaan, kerana itu BN Comms sendiri akan meningkatkan tahap kesiapsiagaan dan antara langkah dibuat akan beroperasi selama 24 jam selama tempoh PRN ini.

“Pertama sekali selepas penamaan calon esok dan kita akan sediakan platform yang membolehkan media rasmi atau cetak dan elektronik mendapat maklumat daripada parti melalui saluran yang akan diumumkan nanti,” katanya.

Pengarah Komunikasi Barisan Nasional (BN) , Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah ketika berucap pada Majlis Minum Petang dan Beramah Mesra bersama para media sempena Pilihan Raya Negeri Johor 2022 di Hotel Fives, Johor Bahru. Foto AMIRUL SHAUFIQ 25 FEBRUARI 2022.

Beliau berkata demikian kepada media pada Majlis Ramah Mesra Bersama Media sempena PRN Johor di sini hari ini.

Turut hadir, Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO yang juga Penyelaras Media BN PRN Johor, Datuk Mohd Razlan Muhammad Rafii.

Mengulas lanjut, Shamsul Anuar berkata, BN Comms juga akan mengadakan taklimat media bersama tokoh-tokoh penting parti itu setiap hari kepada rakan media dan rakyat bagi membolehkan isu-isu yang berlegar dapat dijawab segera.

Jelas beliau, ia penting kerana pihaknya memahami kesukaran keadaan untuk melakukan aktiviti kempen secara fizikal pada PRN ini.

“Maka cara yang paling efektif melalui media yang akan menguasai pada PRN dan menjadi BN Comms menjawab dan kita dapat menyediakan maklumat tepat tanpa mengira waktu.

“Bagi pihak BN, saya mengharapkan kerjasama rakan-rakan media dan sebagai parti kita faham peranan dan tanggungjawab media.

“BN sudah tentu mengharapkan sokong semua media terutama sekali media sosial agar dapat membantu BN mendapat mandat pada PRN Johor ini,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast