MELAKA – Semua 12 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melaka di kawasan ‘tradisi banjir’ disaran segera mewujudkan Jawatankuasa Pengurusan Banjir sendiri bagi mengurangkan kebergantungan penuh terhadap pasukan agensi penyelamat.

Exco Kerja Raya, Pengangkutan, Kemudahan Awam, Infrastruktur dan Pengurusan Banjir negeri, Datuk Rahmad Mariman, berkata, sebaik-baiknya usaha itu perlu dilaksanakan sebelum musim banjir Monsun Timur Laut, September ini.

Menurutnya, perkara itu juga sudah diusulkan pada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) sebelum ini dalam usaha membantu rakyat dan pasukan agensi penyelamat memberi bantuan segera kepada mangsa banjir.

“Saya sarankan semua 12 DUN di Melaka yang kerap berlaku banjir ini supaya wujudkan jawatankuasa pengurusan banjir sendiri untuk memberi bantuan awal kepada mangsa banjir sekiranya agensi penyelamat terlewat sampai disebabkan permintaan yang tinggi.

“Usaha ini penting kerana ahli masyarakat adalah orang paling dekat di setiap situasi banjir sementara menunggu bantuan daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) ataupun Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM),” katanya.

Menurut beliau, antara 12 DUN berkenaan yang menjadi kawasan ‘tradisi banjir’ adalah Paya Rumput, Durian Tunggal, Gadek, Sungai Rambai dan Rim.

Rahmad berkata demikian pada sidang media selepas Taklimat serta Latihan Pengendalian Bot bagi Persiapan Banjir Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Molek di Sungai Duyong, Kampung Kandang di sini hari ini.

Hadir sama Komander Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dari Balai Bomba Bukit Katil, Pegawai Bomba Kanan II Abdillah Hamid.

Mengulas lanjut, Rahmad berkata, setakat ini hanya DUN Ayer Molek di bawah pimpinannya telah menubuhkan jawatankuasa berkenaan yang memiliki beberapa aset menyelamat selain turut dianggotai sukarelawan daripada badan bukan kerajaan (NGO).

“Selain disarankan mempunyai jawatankuasa berkenaan yang dilengkapi aset menyelamat seperti bot dan jaket keselamatan mewujudkan sukarelawan yang mendapat latihan teknik menyelamat juga penting untuk menggerakkan operasi membantu mangsa banjir.

“Sebab itu, selepas menubuhkan jawatankuasa berkenaan, semua 12 DUN ini perlu menganjurkan program taklimat serta latihan pengendalian bot dengan kerjasama JBPM ataupun APM kerana,” katanya. – MalaysiaGazette